30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

ADUN Tamparuli turut sama dalam kempen program ‘Info On Wheels’ (IOW)

JAHID Menaiki kenderaan Jabatan Penerangan Tuaran, bagi membantu Sesi Hebahan Bersama Info On Wheels (IOW) Jabatan Penerangan Tuaran hari ini.

Oleh: Marutin Ansiung

TAMPARULI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli Datuk Jahid Jahim, turut sama dalam usaha mempergiatkan kempen program ‘Info On Wheels’ (IOW) dalam menyalurkan maklumat berhubung situasi terkini berkaitan Covid-19 di daerah kecil Tamparuli.

Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah turut serta menyampaikan informasi mengenai Pembudayaan Norma Baharu dan menekankan bahawa kesihatan asas kebahagiaan, pada program itu di Tamparuli hari ini.

Sambil menaiki kenderaan Jabatan Penerangan Tuaran, beliau mengajak orang ramai mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19 sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau pun dengan mengisi borang secara manual.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat terutamanya yang belum mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 agar segera berbuat demikian, manakala bagi kampung yang mempunyai capaian internet yang kurang baik, diminta mengisi borang secara manual” katanya.

Turut hadir Pegawai Penerangan Tuaran, Malina Jamarin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar dan Pegawai Kesihatan Tuaran, Dr. Yeo Yee Han.

Selain itu, antara yang ditekankan kepada penduduk kampung adalah sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan kerajaan.

Kempen berkenaan melibatkan beberapa kawasan hebahan seperti Pekan Tamparuli, Pekan Topokon, Pekan Tenghilan, Kampung Koburan, dan berakhir di Kampung Tiong Monggis.

Antara yang terlibat pada program tersebut ialah Pejabat Kesihatan Tuaran, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tuaran dan Tamparuli.

Risalah mengenai maklumat amalan pencegahan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat turut diedarkan kepada penduduk di Kampung Tiong Monggis.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN