Datuk Rusdin (empat kiri) dan Dr. Roniyuzam sempat merakam gambar bersama sebahagian warga Hospital Daerah Ranau.
OLEH SALWAH ARAMAT
RANAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan, Datuk Rusdin Riman, mengadakan pertemuan rasmi dengan Pengarah Hospital Ranau, Dr. Roniyuzam bin Abdul Malek, bagi membincangkan isu berkaitan perkhidmatan kesihatan di daerah ini.
Pertemuan itu diadakan susulan aduan orang awam berhubung kekurangan pegawai perubatan serta tempoh menunggu rawatan yang panjang di hospital berkenaan.
Datuk Rusdin berkata isu kesesakan pesakit dan kelewatan rawatan perlu ditangani secara berperingkat kerana memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan, khususnya melibatkan warga emas, ibu mengandung dan pesakit kronik.
Beliau berkata perbincangan tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung cabaran operasi yang dihadapi pihak hospital serta langkah-langkah penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan.
Sementara itu, Dr. Roniyuzam berkata Hospital Ranau terus berusaha memastikan perkhidmatan kesihatan disampaikan sebaik mungkin walaupun berdepan kekangan sumber manusia dan peningkatan jumlah pesakit.
Menurut beliau, pihak hospital sedang meneliti beberapa langkah penambahbaikan termasuk penstrukturan pengurusan aliran pesakit serta permohonan penambahan tenaga perubatan mengikut keperluan semasa.
Kedua-dua pihak bersetuju bahawa kerjasama berterusan antara wakil rakyat dan pengurusan hospital penting bagi menyokong usaha penambahbaikan perkhidmatan kesihatan di daerah Ranau.



