Datuk Abidin menyerahkan geran tanah kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh yang lain-lain
RANAU: Lebih 500 orang penduduk di tiga buah kampung di sini akhirnya menerima geran tanah yang telah dipohon sejak sekian lama melalui Program PANTAS yang dijalankan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
Penyerahan geran tanah itu telah disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dalam Majlis Penyerahan Geran Program PANTAS Kg Narawang, Kg Lutut dan Kg Waluhu yang diadakan di Mini Dewan Kg Narawang pada hari Isnin.
Dalam ucapannya, YB Datuk Abidin berkata, jumlah geran tanah diserahkan pada majlis itu sahaja adalah sebanyak 396 geran, sementara 148 lagi akan diserah pada bulan hadapan selepas selesai proses pencetakan.
“Kita berkumpul di sini kerana kita mengadakan satu majlis yang cukup bermakna bagi penduduk ketiga tiga kampung iaitu Majlis Penyerahan Geran kepada penduduk ketiga kampung yang saya difahamkan lebih 500 geran tanah.
“Kita tahu bahawa tanah tanah ini sudah lama diduduki atau diusahakan oleh penduduk kampung tetapi pemilikan yang sah belum diperolehi kerana kesukaran mendapat geran.
“Akhirnya pada hari ini impian penduduk untuk mendapat geran dapat direalisasikan. Kita ingin merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Hj Noor kerana inisiatif beliau mengadakan Program Penyukatan PANTAS ini diseluruh Negeri Sabah,” katanya.
Abidin yang juga Adun Paginatan turut berterima kasih kepada JTU kerana komitmen mereka melaksanakan Program kerajaan yang cukup bermakna kepada rakyat Sabah.
Menurut beliau, Program PANTAS seterusnya akan dilaksanakan di Mukim Suminimpod dan juga di Kawasan Tinanom, Kodop dan Kigiwit.
Bagi Kg Bongkud dan Namaus, katanya, kelulusan Program PANTAS sudah pun diperolehi, dan hanya menunggu peruntukan untuk dikeluarkan.
“Tahniah kepada semua penerima geran. Diharap geran tersebut dapat diperturunkan kepada anak cucu kita kerana ini adalah harta yang paling berharga untuk kita wariskan kepada anak cucu kita.

Datuk Abidin dan lain-lain bersama sebahagian penerima geran tanah di majlis itu
“Selaku Wakil Rakyat di DUN Paginatan, saya menyeru kepada semua penduduk di tiga buah ini untuk terus menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas sebab komitmen dan usaha berterusan kerajaan mensejahterakan hidup rakyat.
“Kerajaan ini harus disokong demi kesinambungan program pembangunan melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” kata beliau.
Sementara itu, wakil Pengarah JTU, Saat Durasit berkata, sasaran awal Jabatan adalah mengeluarkan hanya 500 geran melalui penyukatan PANTAS tetapi setelah masuk ke lapangan pihaknya telah berjaya menyelesaikan penyukatan tanah lebih kurang 600 geran.
“Pengukuran PANTAS memang amat popular. Di kawasan Parlimen Ranau, semua kawasan DUN mempunyai program penyukatan PANTAS masing-masing tetapi yang paling aktif sekali adalah di DUN Paginatan.
“Kita mengucapan tahniah kepada YB Datuk Abidin kerana beliau adalah satu-satunya YB yang betul-betul bekerja keras menyokong program PANTAS ini.
“JTU akan sentiasa melaksanakan Program PANTAS selagi peruntukan kerajaan masih ada,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Nahur Masipah yang mewakili tiga buah kampung, merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir atas usaha gigih beliau, penduduk kampung kini dapat mengesahkan pemilikan tanah dengan adanya geran-geran tanah di serahkan pada hari ini.
“Terima kasih juga kepada Jabatan Tanah dan Ukur kerana merealisasikan impian kami memiliki geran tanah kepada tanah yang sudah lama kami usahakan ini
“Ini adalah satu sejarah bagi kami di Kg Narawang, Kg Lutut dan Kg Waluhu kerana dapat menerima geran secara beramai ramai. Sudah tentu hari bersejarah ini merubah kehidupan kami kearah yang lebih baik,” kata beliau.
Turut hadir, Penolong Pengarah Tanah Nurul Ikshan Bin Ibrahim, Penolong Pegawai Daerah Florencia Padasian, Ketua Daerah OKK Muhasip Hj Rauman, PPHT Ranau Jaidi Gulis, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, para pemimpin kampung sekitar dan lain-lain.



