30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

AADK kenal pasti 12 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT)

Haji Yazid mewakili Robert menyampaikan sijil kepada wakil peserta bengkel Rajiul Rajimin

KENINGAU:Terdapat 12 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) telah dikenal pasti oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)di negeri ini yang perlu dihijaukan menjelang tahun 2025.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, menurut rekod AADK Sabah kawasan-kawasan berkenaan ialah Likas, Inanam, Penempang, Luagan, Patikang, Tuarid Taud, Merotai, Balung, Tanjung Batu dan zon 1 hingga 4 Wilayah Persekutuan Labuan.

Sehubungan dengan ini Robert yang juga ADUN Bingkor berharap agar agensi kerajaan bersama NGO dan komuniti setempat berkolaboratif secara bersepadu untuk menjayakan aktiviti bagi menangani permasalahan dadah.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Bengkel Keibubapaan Kawasan Berisiko Tinggi Daerah Keningau di Dewan Sabana 4, Taman Sabana di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Majlis Daerah Keningau Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles.

“Seperti yang kita ketahui 99 peratus penagih dadah di Sabah khususnya di Daerah Keningau mengambil dadah sintetik jenis syabu dan mudah didapati. Dadah jenis ini merupakan dadah perangsang yang boleh menyebabkan seseorang hilang kawalan dan melakukan tindakan agresif seperti membunuh, mencederakan orang lain serta tindakan yang menjurus kepada aktiviti jenayah” katanya.

Jelasnya, banyak kisah-kisah menyayat hati yang kita dengar seperti penggal kepala ibu, kes anak kelar ibu dan tragedi empat beranak maut dirempuh oleh pemandu berpunca daripada penyalahgunaan dadah sintetik yang memberi kesan mental kepada pelaku sehingga sanggup melakukan perbuatan di luar batasan kewarasan manusia.

Justeru itu Robert menyeru kepada semua terutamanya ibu bapa untuk mengambil tanggungjawab menjaga ahli keluarga supaya tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, keluarga merupakan faktor pelindung terbaik kepada anak-anak daripada terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah.

Robert yakin pencegahan dari rumah mampu membawa kepada impak yang besar dalam diri anak-anak seterusnya membentuk sahsiah diri yang lebih cemerlang.

Tegasnya, pencegahan penyalahgunaan dadah jenis sintetik perlu diambil serius bagi mengelakkan peningkatan penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat terutama golongan belia.

“Tema  Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan tahun ini “Lebih Baik Cegah” diilhamkan daripada aspirasi “Keluarga Malaysia” yang memerlukan komitmen, tanggungjawab dan tindakan awal semua keluarga Malaysia dalam menangani permasalahan dadah yang membelenggu masyarakat di negara ini” katanya.

Dalam hal ini katanya, ibu bapa perlu mengambil peranan dan melaksanakan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak agar mereka dapat berfikir dan bertindak bagi menghindari gejala negatif dan sentiasa memantau aktiviti seharian anak-anak supaya mereka tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial.

Hadir sama Pengarah AADK Negeri Sabah Nani bin Sikin, Penolong Pengarah AADK Negeri Sabah Puan Dayang Siti Rohani Sedan, Penolong Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)Negeri Sabah Puan Suzana Piny, Penyelaras KRT Daerah Keningau Ahamin Salim dan Pengerusi KRT Sabana Fasa 4 Johnny Anthony Kadau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN