KERJASAMA…… Guru Besar SK Patau-Patau, Sazalee Haji Dinin (dua kanan) dan 3 orang Ketua Kampung iaitu S Roslee Matusin (kanan), Asmat dan Tan Beng Hian yang bekerjsama dalam Frasa ‘Siuk Bah Sekulah’
LABUAN: Sekolahh Kebangsaan Patau-Patau (SKPP) telah mengadakan Program Bersepadu Unit Bimbingan Kaunseling ‘Siuk Bah Sekulah’ berikutan kehadiran murid yang kian merosot kesan masalah penularan Covid-19.
Program bersama Unit HEM yang terdiri daripada Unit Disipin, 3K, Unit Kurikulum dan PIBKS merupakan inisiatif dalam Pelan Intervensi Transformasi Sekolah dalam Program TS25.
Pegawai angkat SK Patau-Patau dari Jabatan Pendidikan WP Labuan, Malai Hasnah Malai Ahmad telah melancarkan program tersebut, di Sekolah Kebangsaan Patau-Patau, baru-baru ini.
Majlis tersebut disaksikan oleh Penolong Pengarah SPS Unit Sekolah Jenis Khas. Jabatan Pendidikan WP Labuan, Rina @ Farina Dakim.
Frasa ‘Siuk Bah Sekulah” merupakan dialek etnik masyarakat Melayu-Brunei yang terdapat di WP Labuan ini.
Dialek ini dipilih agar ianya lebih ‘dekat’ di jiwa komuniti setempat yang merupakan etnik majoriti sekolah ini.
Frasa ini menggambarkan perasaan yang gembira, seronok dan teruja berada di sekolah yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan ganjaran.
Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah membina pemuafakatan antara ketua-ketua kampung di sekitar sekolah iaitu Ketua Kampung Patau-Patau 1 iaitu S.Roslee Matusin, Ketua kampung Patau-Patau 2, Asmat Saripan dan Ketua Kampung, Kampung Sungai Keling, Tan Beng Hian@Ronnie Tan.
Inisiatif ini dibuat memandangkan pihak sekolah tidak digalakkan untuk melaksanakan ziarah ke rumah murid yang ponteng tegar.
Melalui cara ini ketua kampung yang bertindak sebagai perantara antara murid-murid yang berada di kampung mereka dengan pihak sekolah untuk mengetahui apakah masalah yang dihadapi oleh murid-murid tersebut dan pihak ketua kampung sedia menghulurkan bantuan.

PELANCARAN…..Malai Hasnah (tiga kanan) melancarkan ‘SIUK BAH SEKULAH’ SK Patau-Patau sambil disaksikan oleh Sazalee (empat kiri), Farina (dua kiri), Melia (dua kanan), Dalilah (tiga kiri), Amidah dan Busman.
Selain itu, ketua-ketua kampung ini juga telah bersetuju untuk menyebarkan dan menyampaikan usaha dan inisiatif sekolah kepada warga kampung melalui pelbagai jenis saluran media sosial dan melalui tazkirah di masjid atau di surau kampung masing-masing.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara pihak sekolah dengan tiga orang ketua kampung tersebut telah berjaya dilaksanakan pada 17 September yang lepas dengan tekad dan harapan yang sama iaitu meningkatkan kehadiran murid kepada 95 peratus.
Guru Besar SK Patau-Patau, Sazalee Haji Dinin berkata guru-guru tidak dapat melaksanakan penilaian dan pentaksiran sekiranya murid-murid tidak hadir ke sekolah.
Kesannya, anak-anak ini akan tercicir dan jauh ketinggalan dan merugikan diri mereka sendiri.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ketua-ketua kampung terbabit yang sudi memberi kerjasama untuk menangani isu tersebut.
Selain daripada ketua kampung terdapat juga badan korporat yang tampil untuk membantu sekolah dengan memberi sumbangan galakan untuk kehadiran penuh murid melalui PIBG.
Klinik Pergigian Wan Zaihana telah menyumbangkan 2 buah basikal sebagai hadiah utama bagi kehadiran penuh murid yang akan disampaikan pada hujung tahun nanti.
Kerjasama bersepadu di antara sekolah dengan komuniti setempat dan pihak swasta akan mendorong kepada kejayaan inisiatif ‘Siuk Bah Sekulah’ di SK Patau-Patau.
Turut hadir pada majlis pelancaran program itu ialah Yang DiPertua PIBG SKPP, Melia Sallam, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Dalilah Desa, GPK HEM, Amidah Basar dan GPK Kokurikulum, Busman Borahima.



