KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah membenarkan beberapa lagi sektor ekonomi beroperasi serta-merta selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap lima di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan hari ini berkata, antara sektor yang dibuka ialah Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Menurut Shafie, antara aktiviti yang dibenarkan di bawah Sektor Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta rangkaiannya adalah seperti berikut:
1) Pelancongan Domestik (Dalam Negeri Sabah sahaja)
i Aktiviti yang melibatkan penginapan, adventure dan recreation, tempat menarik, food and beverage, ticketing services, pengangkutan dan lain-lain yang berkaitan.
ii Semua operasi perhotelan adalah dibenarkan kecuali fasiliti hotel seperti surau, gimnasium, spa, sauna, lounge, kolam renang, bilik mesyuarat, dewan seminar, bilik latihan dan buffet.
2) Kebudayaan
Aktiviti seni budaya meliputi kegiatan seni kraf, visual, pakaian tradisi, makanan tradisi, muzik dan tari (yang tidak melebihi 10 orang) serta penyelidikan dan pendidikan budaya dan lain-lain.
3) Alam Sekitar, Hidupan Liar dan Taman-Taman Negeri
i Aktiviti yang meliputi kunjungan riadah, kajian, penyelidikan dan pemantauan Alam Sekitar termasuk perkhidmatan yang ditawarkan di Taman-Taman Sabah dan santuari seperti Tabin Wildlife Resort, Danum Valley, Maliau Basin, Imbak Canyon, Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok, Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan, KK Wet Land dan termasuk aktiviti-aktiviti yang diuruskan oleh pihak swasta.
ii Aktiviti yang meliputi Penuaian Sarang Burung, pengeluaran permit dan lesen hidupan liar dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan. Pelaksanaan semua aktiviti dalam sektor ini dan rangkaiannya hendaklah mematuhi Standard Operating Prosedure (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak yang berkaitan.
Sektor-sektor lain yang turut dibenarkan beroperasi bermula hari ini, 10 Mei 2020 adalah seperti berikut:-
SEKTOR SUKAN DAN REKREASI
Aktiviti yang dibenarkan di bawah sektor ini dan rangkaiannya adalah seperti berikut:
1). Aktiviti latihan sukan individu, sukan elit dan sukan berprestasi tinggi seperti olahraga, golf, tenis, E-sport, sukan bermotor (cubprix), boling padang, memanah, menembak, angkat berat, berbasikal, pelayaran, pentanque, squash, ping pong, silambam, wushu, karate (kata), taekwondo (kata) dan bina badan.
2). Aktiviti sukan massa dan rekreasi yang melibatkan orang awam yang tidak lebih dari 10 orang dalam satu kumpulan pada satu-satu masa seperti golf, berbasikal, sukan bermotor, jogging, senamrobik dan lainlain aktiviti senaman jasmani.
3). Rangkaian kemudahan sukan dan rekreasi (outdoor) seperti golf driving range, jogging track, boling padang, lapang sasar memanah, lapang sasar menembak dan taman awam sama ada di bawah kawalan Kerajaan atau swasta atau milik individu. Pelaksanaan semua aktiviti dalam sektor sukan dan rangkaiannya hendaklah mematuhi SOP KKM dan pihak berkuasa berkaitan. Sukan-sukan yang tidak dibenarkan ialah seperti sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong, acara berkumpulan diluar yang melebihi 10 orang, indoor sport, acara di kolam renang dan jenis-jenis sukan bersentuhan (contact sport).
SEKTOR PERKHIDMATAN IKHTISAS DAN PROFESSIONAL
Aktiviti yang dibenarkan di bawah sektor perkhidmatan ikhtisas dan professional serta rangkaiannya adalah perkhidmatan oleh Jurutera, Peguam, Arkitek, Akauntan, Perunding Kewangan, Jurunilai, Juruukur Bahan, Juruukur Tanah, Ahli Farmasi, Kaunselor, Ahli Geologi, Dietrician, Dentist, Juru Fisioterapi, Optometris, Odiologist, Veterinar, Doktor Perubatan dan Doktor Pakar dan lain-lain perkhidmatan ikhtisas dan profesional yang berdaftar dengan Badan Professional masing-masing. Semua perkhidmatan ikhtisas dan professional hendaklah mematuhi Standard Operating Prosedure (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa yang berwibawa (competent authority)
PENGANGKUTAN UDARA
Kerajaan Negeri juga memutuskan supaya bilangan penerbangan domestik ditambah dan menyeru kepada syarikat-syarikat penerbangan supaya menambah bilangan penerbangan daripada Kuala Lumpur / Johor Bahru / Pulau Pinang / Kota Bahru / Alor Star / Kuching / Miri / Bintulu ke Negeri Sabah dan sebaliknya.
Begitu juga dengan penerbangan-penerbangan dalam Negeri Sabah. Aktiviti pengangkutan udara adalah tertakluk kepada SOP KKM dan pihak berkuasa berkaitan.
KEDAI MENJUAL KENDERAAN BERMOTOR, JENTERA BERAT DAN BASIKAL
Kerajaan Negeri juga membenarkan kedai-kedai dan premis menjual kenderaan bermotor, jentera berat dan basikal beroperasi mulai 10 Mei dan hendaklah mematuhi SOP KKM dan pihak berkuasa berkaitan.
KEBENARAN MERENTAS DAERAH
Kerajaan Negeri ingin memaklumkan bahawa pergerakan merentas daerah di negeri Sabah adalah dibenarkan sejak 4 Mei selaras dengan Arahan Perintah Kawalan Pergerakan Tahap 5 dan hendaklah mematuhi SOP KKM dan pihak berkuasa berkaitan. TAMAT



