ADVERTISEMENTspot_img

Kewajaran Mencipta Ekosistem Sosio-ekonomi Berasaskan Komuniti Mendepani Kehidupan Normal Baharu Menguruskan Sumber Hasil Pertanian Di Ranau, Sabah

Oleh: DR. JURRY FOO
Pensyarah Kanan (Geografi) / Felo Penyelidik / MyJICA Alumni (Sabah)
(Pengkhususan- Alam sekitar dan Pembangunan-Biogeografi Sosial) BORIIS, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.
[Emel: jurryfm@ums.edu.my]

PENGURUSAN sumber hasil pertanian bukan untuk membantu pengusaha pertanian sahaja, tetapi ia melibatkan komuniti sebagai pengguna dalam membentuk ekosistem sosio-ekonomi dan kesejahteraan hidup. Ini kerana pertanian bukan untuk petani sahaja, tetapi juga untuk masyarakat pengguna yang memanfaatkan hasil pertanian. Dalam konteks ini, pengguna juga perlu bijak dan berkeupayaan dalam menguruskan sumber pertanian.

NORMAL BAHARU adalah satu kaedah penghidupan baharu yang bertemakan ‘Kita Jaga Kita’ yang bukan sahaja dari segi penjagaan kesihatan, tetapi juga dari segi  menghadapi kehidupan dalam persekitaran fizikal dan sosial yang baharu. Dalam hal ini pemerkasaan komuniti (Community empowerment) yang membolehkan masyarakat meningkatkan kawalan terhadap kehidupan mereka harus dilaksanakan dan diterima.

Sejak awal bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha menghentikan penularan COVID19, beberapa isu berkaitan pengurusan sumber hasil pertanian  telah berlaku di daerah Ranau, Sabah khsususnya Kundasang. Beberapa isu termasuk gangguan aliran pasaran sayuran keluar daerah menyebabkan masalah terbitan lain termasuk lambakan sayuran yang  tidak berjaya dipasarkan dan kerugian dalam kalangan pengusaha pertanian serta kekurangan bekalan sayur di beberapa buah tempat. Kenapa ini berlaku? Ya, tiada pergerakan manusia dibenarkan.

Namun beberapa langkah penyelesaian segera telah sedikit sebanyak memulihkan keadaan tersebut, iaitu:

a) penjualan sayuran melalui pesanan menggunakan alat komunikasi.
b) permohonan kebenaran penghantaran sayur ke luar daerah.
c) sumbangan ikhlas bekalan sayur kepada komuniti sama ada daripada pengusaha pertanian ataupun para penyumbang.
Usaha menggalakkan masyarakat mengoptimumkan kearifan tempatan melalui bengkel atas talian yang dilaksanakan menerusi FBLive Jurry Foo sejak awal PKP merupakan satu pemerhatian awal kepada tingkahlaku dan potensi komuniti di daerah Ranau umumnya dapat menghadapi perubahan dengan pemerkasaan komuniti menggunakan kearifan tempatan mereka. Peserta bengkel telah membuktikan bahawa dengan mengoptimumkan kearifan tempatan, mereka telah mampu meningkatkan kebolehan dan mencipta peluang sosio-ekonomi baharu walaupun tanpa suntikan dana. Antara kebolehan tersebut ialah:

a) Keupayaan memproses sayuran sama ada untuk kegunaan domestik mahupun sebagai produk pasaran.
b) Meningkatkan kreativiti dalam menghasilkan kepelbagaian makanan berasaskan sayuran. Termasuk menghasilkan makanan berasaskan sayuran yang boleh dinikmati oleh mereka yang  tidak gemar memakan sayur.
c) Mencipta peluang perniagaan baharu dalam kalangan ahli komuniti. Misalnya, serunding kubis RH yang telah mula mendapat tempahan sehingga ke Semenanjung Malaysia melalui pesanan atas talian di media sosial dan melibatkan penghantaran secara pos; percubaan pasaran Sayur Masin (Hamchoi) Kubis oleh pengusaha perniagaan di Micro21, Ranau, Sabah serta penjualan jeruk (Bosou) sayuran Pn. Maisih Sumbin dalam daerah ini.

Namun sejak kebelakangan ini sayur-sayuran telah menunjukkan peningkatan dari segi harga, malah difahamkan melalui peniaga sayuran di Kundasang, bekalan sayuran akan berkurangan dalam masa yang terdekat. Ini semestinya akan menjadi kekangan dalam penyumberan sayuran yang menjadi bahan mentah dan sumber makanan kepada pengguna. Apa yang perlu dilakukan? Jawapannya mencipta ekosistem sosio-ekonomi berasaskan komuniti.

EKOSISTEM SOSIO-EKONOMI BERASASKAN KOMUNITI ialah satu jaringan interaksi penghidupan berterusan melalui hubungan kerjasama ahli komuniti dalam melaksanakan fungsi dan peranannya dalam masyarakat sebagai satu sistem tertutup. Aliran bahan dan perkhidmatan dalam skala daerah wajar diwujudkan oleh komuniti sendiri. Ini bermakna, petani berperanan menghasilkan sumber kepada pihak pemproses makanan dalam lingkugan komuniti tempata termasuk pengguna domestik secara berterusan, manakala pengguna harus sedia dan menjadi pengguna setia kepada hasil pertanian dalam kalangan komuniti tempatan. Namun prinsip kewajaran ekosistem ini  ialah situasi ‘menang-menang’ (win-win situation). Maknanya manfaat dikongsi kedua-dua belah pihak pengeluar dan pengguna. Pelanggaran prinsip ini akan menggagalkan seluruh ekosistem.

Persoalannya sekarang, sanggupkah masyarakat mencipta ekosistem sosio-ekonomi berasaskan komuniti dengan hanya menjual dan membeli dalam skala tempatan? Potensi dan keupayaan komuniti sudah terlihat, kini semuanya terpulang kepada masyarakat dalam menghadapi normal baharu kerana dalam penghidupan baharu ini seharusnya ‘Kita Jaga Kita’. TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN