Nasimin Yantangon (tengah, barisan belakang) bersama sebahagian ahli keluarga Pisaka dan jawatankuasa pelaksana majlis merakamkan gambar kenangan selepas menghadiri mesyuarat persiapan penganjuran majlis hari keluarga berkenaan.
RANAU: Lebih 700 ahli keluarga Pesempuruan Sakag Aki Kaunda (Pisaka) dari seluruh Malaysia, khususnya Sabah, dijangka menghadiri majlis hari keluarga kali keenam yang akan berlangsung di Kampung Bayangan, Keningau, pada 19 Disember depan.
Majlis yang dijadualkan bermula pada pukul 11 pagi itu dijangka dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Nazri Zawawi.
Pengerusi Induk Jawatankuasa Pisaka, Nasimin Yantangon berkata, penganjuran majlis tahunan itu bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim, perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan ahli keluarga agar terus terpelihara merentas generasi.
Beliau berkata, majlis bertemakan “Mengeratkan Perpaduan, Mengekalkan Persaudaraan” itu turut memberi penekanan terhadap kepentingan memelihara nilai kekeluargaan agar tidak terhakis ditelan zaman.
“Tahun lepas, majlis ini diadakan di Kampung Tungou, Ranau, manakala tahun ini di Keningau dan pada tahun depan (2027) akan diadakan di Kampung Skim Dua Lohan, Ranau,” katanya ketika ditemui.
Nasimin turut menyeru semua ahli keluarga Pisaka agar hadir memeriahkan majlis berkenaan sekali gus memperkukuh ikatan persaudaraan dalam kalangan ahli keluarga.
Majlis berkenaan akan berlangsung di Kampung Bayangan yang terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Keningau.



