Armizan (tengah) menyempurnakan gimik perasmian.
PAPAR: Penggunaan radio amatur sebagai komunikasi alternatif perlu diperkukuh bagi memastikan kelancaran pengurusan bencana apabila rangkaian telekomunikasi terputus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selain penyediaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan penyaluran bantuan, komunikasi juga merupakan aspek penting dalam pengurusan bencana.
“Semasa berlaku sesuatu insiden bencana, aspek yang paling penting juga adalah komunikasi sama ada antara agensi kerajaan, komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan di daerah contohnya dengan kawasan-kawasan yang terjejas.
“Terdapat insiden bencana dalam skala yang agak besar dan telah menyebabkan berlakunya gangguan kepada sistem telekomunikasi konvensional yang ada.
“Apabila internet dan rangkaian telefon terjejas akibat gangguan elektrik atau kerosakan infrastruktur, radio amatur menjadi alternatif penting.
“Penggunaan radio amatur pernah dilaksanakan dalam beberapa insiden bencana, termasuk kejadian di Papar pada September 2025.
“Maka sebab itu, kerajaan khususnya melalui Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi (MCMC) mengambil pendekatan memperkukuh penyelarasan antara MCMC, PKOB di daerah dengan kelab radio amatur yang ada.
“Supaya bila ada keperluan, apabila berlakunya bencana maka perkhidmatan radio amatur boleh diaktifkan segera bagi memastikan penyelarasan bantuan dan pengurusan bencana berjalan teratur,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Radio Amatur Sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, usaha itu turut membantu penyampaian maklumat mengenai bekalan makanan dan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha MCMC dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi risiko bencana,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya ketika musim bencana.
“Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, kita ada jawatankuasa untuk melakukan penstabilan dan pemantauan bekalan serta harga barangan keperluan yang bermesyuarat setiap dua bulan dan turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan.
“Salah satu daripada agenda jawatankuasa adalah melihat situasi bila berlaku gangguan bekalan akibat bencana.
“Tetapi persediaan bukan sekadar reaktif, sebaliknya melibatkan perancangan awal bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi,” tambahnya.
Armizan menjelaskan, antara langkah yang boleh diambil ialah mengenal pasti kawasan berisiko banjir serta membolehkan peruncit dan pemborong menyimpan stok tambahan barangan kawalan.
“Pelaksanaan Skim Kawalan Harga ketika Monsun Timur Laut bergantung kepada keadaan kerana keutamaan ketika bencana ialah memastikan bekalan sampai kepada penduduk terjejas.
“Selepas bencana, kerajaan turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) pasca bencana kerana kita tahu rakyat kita terjejas akibat bencana,” katanya.
Armizan memaklumkan terdapat 1,313 kawasan radio amatur yang aktif selain 18 stesen repeater dan 12 kelab radio amatur di Sabah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Juil Nuatim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya./Penerangan–



