ADVERTISEMENTspot_img

BINGKOR LAHIRKAN LAGI CERITA BOLA SEPAK SABAH

Caleb Ian, Caleb bersama Belenda (nenek) dan Rayner

Oleh: Paul Ukau

BINGKOR: Bingkorian Soccer Club (BSC) merakamkan ucapan tahniah kepada 18 pemain Rhinos Cup U15 yang terpilih mewakili Sabah FA U15 ke Liga Remaja Kebangsaan 2026, termasuk lima pemain dari Keningau dan Caleb Ian Wong Kam Seng dari Kota Kinabalu, cucu kepada legenda bola sepak negara, Datuk James Wong Chye Fook.

Ucapan tahniah itu disampaikan Timbalan Presiden BSC, Rayner Jainus Lian Ginanda, susulan pengumuman senarai akhir Sabah FA menerusi Sabah Football Development Program.

Senarai akhir itu membabitkan lima pemain dari Keningau, lima dari Kota Kinabalu, empat dari Ranau, tiga dari Penampang dan seorang dari Tawau.

“Untuk anak-anak Keningau, ini bukti bakat dari pedalaman mampu bersaing di peringkat negeri dan kebangsaan. Teruskan berjuang, nama Sabah di bahu kamu,” kata Rayner.

Pemilihan Caleb mencuri tumpuan di Mukim Bingkor, walaupun beliau bukan membesar di Keningau. Caleb membesar dan dibentuk sebagai pemain di Kota Kinabalu.

Akarnya di Bingkor datang melalui sebelah ibu. Beliau adalah cucu kepada Belinda Unis Mikat Atam Singgon di sebelah ibu, dan cucu kepada Datuk James Wong di sebelah bapa.

Belinda Unis berasal dari Kampung Sandapak, Bingkor, dan berketurunan Gana Kujau.

James Wong adalah orang Sabah pertama mewakili Malaysia pada 1971 dan digelar King James kerana ketajaman penyudahnya. Beliau membentuk gandingan legenda bersama Datuk Hassan Sani, yang digelar Lipas Kudung kerana kepantasannya.

Gandingan itu mencipta sejarah pada 6 April 1980 di Stadium Merdeka apabila Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam penentuan kelayakan ke Sukan Olimpik Moscow 1980, menerusi gerakan Hassan yang disudahkan James. Malaysia layak, namun tidak ke Moscow berikutan boikot terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Setahun sebelumnya, Sabah muncul naib juara Liga Malaysia 1979 dengan 49 gol dalam 12 perlawanan, sebagai pasukan paling tajam di negara ini.

Kisah James juga adalah kisah satu keluarga. Bapanya, Wong Hean Ming, pada awalnya tidak menggalakkan anak-anaknya bermain bola sepak, sehingga James dan adik-beradiknya terpaksa menyelinap keluar dari rumah untuk bermain ketika berusia sekitar 10 tahun.

Kelima-lima adik-beradik lelaki Wong iaitu Tony, Harry, Vincent, Johnny dan James pernah menyarung jersi Sabah dari akhir 1970-an hingga pertengahan 1980-an. James, Tony dan Harry pernah menjadi pemain kebangsaan Malaysia, manakala Vincent, Johnny dan Freddy pernah mewakili skuad negeri Sabah.

BSC menyifatkan pemilihan 18 pemain itu sebagai bukti keberkesanan pembangunan akar umbi. Melalui Rayner, BSC konsisten memberi pengiktirafan kepada bakat muda Sabah dan pernah memeterai kerjasama dengan NY7 Sports bagi melaksanakan program bola sepak akar umbi.

Bagi masyarakat Dusun Gana dan Kujau di Bingkor, khususnya di Kampung Sandapak, pemilihan Caleb bukan sekadar satu nama dalam senarai, tetapi kesinambungan dua warisan, warisan Gana Kujau dari Sandapak dan warisan King James dari Kota Kinabalu, dalam satu nama. Seorang anak Kota Kinabalu yang membawa darah Bingkor.

SENARAI PENUH PEMAIN TERPILIH SABAH FA U15

Penampang: Jowenson Herick Jamrin, Muhammad Haikal Hakimi Bin Bradli, Mikell Assien Livinus

Kota Kinabalu: Mohammad Fauzan Daniel Bin Mohd Fauzi, Muhammad Rezquan Rezqi Bin Ismail, Mohammad Akif Zahim Bin Mohd Sarifudin, Caleb Ian Wong Kam Seng, Mohammad Zulhuzairy Bin Rani

Ranau: Aniq Danish Bin Salehnor, Marcelo Ery Raslin, Ardian Enzol, Hazif Ilham Bin Abdullah

Tawau: Muhammad Akmal Bin Arinal

Keningau: Zeavendy Jemilio, Aerion Dunstan, Jefli Bin Julito, Mohammad Aidil Bin Amanshah, Jujyoderry Jusius

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN