Datuk Mohd Razali Razi
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama politik sedia ada bersama Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan lain dalam Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan kestabilan politik serta kelancaran pentadbiran negeri.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Mohd Razali Razi berkata, kerjasama berasaskan kepercayaan dan sikap saling menghormati itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta kepentingan rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi dan Setiausaha Politik kepada Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi, berhubung usaha memperkukuh kerjasama politik antara UMNO dan GRS.
Menurutnya, keberkesanan kerjasama politik antara parti turut terbukti menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Januari lalu apabila kesepaduan jentera parti membantu mencapai kemenangan dengan majoriti besar di kedua-dua kerusi.
“Keputusan itu menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila semua pihak bekerja bersama atas dasar persefahaman,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, keutamaan GRS ketika ini adalah memperkukuh hubungan dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri, selain memastikan kerjasama berkenaan terus dipelihara demi kestabilan politik Sabah.
Katanya, kestabilan dan kesepakatan politik juga penting bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan, memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta mempertahankan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.



