Prof. Dr. Shamsul (tiga kanan) menerima sijil penghargaan daripada Nazli sambil diperhatikan Ag. Rozlan (dua kanan) Diyanah dan Muhamad Hasanal.
LABUAN: Jabatan Muzium Malaysia Labuan terus memperkukuh usaha memupuk kecintaan terhadap sejarah dan warisan tempatan menerusi Program Merentas Kampus dan Sekolah Siri 6/2026.
Penolong Kurator Kanan Muzium Labuan, Muhammad Nazli Ho Abdullah berkata, program sepanjang tahun ini telah menjelajah lima institusi pendidikan sebelum menutup tirainya di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Antara institusi terlibat ialah SMA MAIWP Labuan, ADTEC Labuan, Kolej Vokasional Labuan, SK Tanjung Aru dan SK Kerupang.
Beliau berkata, program itu bertujuan memupuk kebanggaan terhadap jati diri serta warisan tempatan dalam kalangan generasi muda, selaras dengan peranan muzium sebagai pemelihara warisan negara.
Katanya, tema tahun ini, ‘Muzium dan Geopark: Lestari Khazanah Alam, Aspirasi Komuniti’, turut meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara khazanah alam dan budaya yang membentuk Geopark Labuan.
“Inilah manifestasi peranan muzium sebagai Pemelihara Warisan (Heritage Custodian) bukan sekadar tempat penyimpanan khazanah lama, tetapi menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air melalui pembudayaan warisan dan sejarah.
“Pemilihan tema pada tahun ini, iaitu ‘Muzium dan Geopark: Lestari Khazanah Alam, Aspirasi Komuniti’, membawa mesej yang amat mendalam yang mampu menyemai kesedaran bahawa warisan negara bukan sekadar khazanah bersejarah yang terpasak di dalam bangunan muzium, malahan terbentang indah di sekeliling kita meliputi kepelbagaian singkapan batuan, pesisir pantai, hutan, landskap berbukit dan keragaman budaya yang membentuk Geopark Labuan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengarah Muzium Labuan pada majlis penutupan program berkenaan di Dewan Theatrette UMSKAL, Isnin.
Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan termasuk pameran, Cabaran Putaran Gasing, aktiviti STEM, sukan rakyat serta Eksplorasi Labuan Geopark yang merangkumi enam stesen pemeriksaan.
Program itu turut mendapat sokongan pelbagai agensi dan rakan strategik dalam usaha memperluas pendidikan warisan serta meningkatkan penglibatan komuniti.
Nazli berharap kerjasama dengan UMSKAL dapat diteruskan menerusi bidang penyelidikan, kesukarelawanan, latihan industri dan pemerkasaan komuniti bagi memastikan khazanah alam serta warisan Labuan terus dipelihara.
Hadir sama Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Samsudin, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Ag. Rozlan Manan, Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perbadanan Labuan, Diyanah Shafirah Barawi dan Pengurus Cawangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan, Muhamad Hassanal Yusof..



