BARU….Struktur bangunan yang dibina di Gunung Kinabalu
KOTA KINABALU: Pembinaan struktur bangunan yang tular di media sosial di Gunung Kinabalu disahkan sebahagian daripada projek Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa, namun Kerajaan Sabah akan memastikan semua aspek pelaksanaannya mematuhi syarat keselamatan dan perlindungan alam sekitar.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin, berkata projek itu bertujuan menyediakan kemudahan asas penginapan dan latihan khusus bagi menyokong aktiviti pendakian gunung serta persediaan ekspedisi ke destinasi altitud tinggi antarabangsa.
Beliau berkata HATC bukan pembangunan baharu yang dirancang secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dicadangkan menerusi Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015 sebelum pelaksanaannya ditangguhkan susulan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun sama.
Menurutnya, inisiatif itu diaktifkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025 sebagai sebahagian usaha mempelbagaikan produk pelancongan Sabah serta memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pendakian bertaraf antarabangsa.
Katanya, projek berkenaan telah memperoleh kelulusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah serta sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu bagi memastikan nilai budaya dan kerohanian masyarakat pribumi terus dihormati.
“Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi warisan alam semula jadi dan budaya Sabah yang mempunyai hubungan erat dengan tradisi, kepercayaan serta identiti masyarakat pribumi.
“Peluang ekonomi dan kemajuan sektor pelancongan tidak boleh sesekali mengorbankan warisan budaya kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas kebimbangan terhadap kesan pembinaan itu, Jafry berkata projek berkenaan menggunakan bahan binaan ringan, pasang siap dan modular bagi meminimumkan gangguan terhadap persekitaran, selain mengelakkan penggunaan jentera berat.
Beliau berkata struktur itu turut direka bentuk untuk menahan tiupan angin kencang serta keadaan cuaca mencabar di kawasan altitud tinggi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kementeriannya akan memastikan semua kerja pembinaan mematuhi spesifikasi diluluskan, keperluan alam sekitar serta undang-undang dan peraturan berkaitan.
Sehubungan itu, kementerian turut mempertimbangkan siasatan menyeluruh bersama Taman-Taman Sabah dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengesahkan tahap pematuhan projek terhadap semua syarat ditetapkan.
“Kita memandang serius kebimbangan yang disuarakan orang ramai. Kelulusan awal bukan bermaksud kebenaran tanpa batas untuk melaksanakan pembangunan.
“Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang diperlukan mengikut undang-undang,” katanya.
Mengenai tujuan pembangunan, Jafry berkata HATC akan menyediakan persekitaran latihan khusus untuk pendaki yang membuat persediaan bagi ekspedisi ke destinasi altitud tinggi seperti Gunung Kilimanjaro, Aconcagua dan Gunung Everest.
Kemudahan itu turut menyokong latihan penyesuaian tubuh terhadap altitud, teknik pendakian serta pendedahan kepada penggunaan peralatan khusus, sekali gus membuka peluang penyertaan komuniti pendaki tempatan dan antarabangsa.
Katanya, kedudukan strategik Gunung Kinabalu, akses mudah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu serta infrastruktur pendakian sedia ada memberikan kelebihan untuk menarik kelab dan organisasi pendakian antarabangsa.
Inisiatif itu juga menyokong matlamat Kinabalu UNESCO Global Geopark menerusi penggalakan geopelancongan bertanggungjawab, kesedaran alam sekitar dan pembangunan pelancongan mampan.
Jafry berkata kerajaan negeri komited memastikan pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar berjalan seiring, tanpa menjejaskan keutuhan ekologi serta warisan budaya Gunung Kinabalu yang menjadi lambang identiti Sabah..
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kundasang, Datuk Japiril Suhaimin, menggesa siasatan segera dijalankan berhubung dakwaan aktiviti pembinaan dan penggerudian di Gunung Kinabalu susulan penularan beberapa keping gambar di media sosial.
Beliau berkata Taman-Taman Sabah dan agensi kerajaan berkaitan perlu mengenal pasti lokasi sebenar, jenis serta tujuan aktiviti berkenaan, termasuk memastikan sama ada kerja terbabit mempunyai permit dan kelulusan yang diperlukan.
Katanya, pihak berkuasa juga perlu menentukan sama ada lokasi berkenaan terletak dalam kawasan Taman Kinabalu, zon penampan atau kawasan di bawah bidang kuasa agensi lain.
“Pihak berkuasa perlu mengenal pasti lokasi sebenar aktiviti itu, jenis, tujuan dan skop kerja, pihak yang melaksanakannya serta status permit, kelulusan dan kebenaran yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Japiril berkata siasatan turut perlu menilai kemungkinan kesan aktiviti berkenaan terhadap sumber air, kestabilan tanah, biodiversiti, ekosistem dan alam sekitar di kawasan sekitarnya.
Beliau turut mencadangkan penilaian teknikal dilaksanakan bagi mengenal pasti risiko serta menentukan langkah pencegahan yang bersesuaian.



