ADVERTISEMENTspot_img

Dua Tamu Desa di Kimanis, Membakut pacu ekonomi dan aktiviti komuniti

Ewon (lapan dari kanan) dan Rowindy (tengah) bergambar bersama sebahagian peniaga dan penduduk kampung yang hadir

KIMANIS: Pembinaan dua Tamu Desa di kawasan Kimanis dan Membakut hasil kelulusan ketika Datuk Ewon Benedick menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi manfaat besar kepada peniaga serta penduduk setempat.

Ketua UPKO Bahagian Kimanis, Rowindy Lawrence Odong berkata, kemudahan berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang perniagaan yang lebih selesa dan teratur, malah turut berperanan sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan.

Beliau berkata, dua projek berkenaan membabitkan pembinaan Tamu Desa di Kampung Daigin, Ulu Kimanis dan Kampung Dungau, Membakut, hasil daripada dua permohonan yang dikemukakannya ketika Ewon menerajui kementerian berkenaan.

Menurutnya, sebelum kemudahan itu disediakan, peniaga tamu di kedua-dua kampung berkenaan tidak mempunyai tempat berbumbung yang sempurna untuk menjalankan aktiviti jual beli serta memasarkan hasil keluaran mereka.

” Kini, mereka mempunyai tempat yang lebih selesa dan teratur untuk menjalankan aktiviti perniagaan, sekali gus membantu meningkatkan peluang menjana pendapatan,” katanya dalam kenyataan.

Rowindy berkata, kemudahan itu juga membuka peluang kepada penduduk setempat untuk menggunakannya bagi pelbagai aktiviti komuniti termasuk mesyuarat kampung, kelas tuisyen, festival dan program kemasyarakatan.

Katanya, pembangunan seperti itu amat bermakna kerana manfaatnya bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal, tetapi turut membantu merancakkan ekonomi setempat, memperkukuh hubungan komuniti dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan serta sokongan dalam merealisasikan pembangunan kemudahan berkenaan.

Beliau berharap kedua-dua Tamu Desa itu akan terus dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat, termasuk generasi akan datang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN