ADVERTISEMENTspot_img

MMA Sabah gesa KKM segera tambah doktor, Hospital Ranau berdepan kekurangan petugas kritikal

KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) segera menempatkan pegawai perubatan tambahan dari Semenanjung bagi menangani kekurangan doktor yang semakin kritikal di negeri ini, khususnya di Hospital Ranau.

Gesaan itu susulan laporan bahawa sebahagian pegawai perubatan di Sabah terpaksa bekerja sehingga 72 jam berturut-turut tanpa rehat mencukupi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kebajikan petugas kesihatan serta keselamatan pesakit.

Pengerusi MMA Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, keadaan itu memerlukan campur tangan segera KKM bagi memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

Menurutnya dalam kenyataan hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah mengesahkan 11 daripada 19 pegawai perubatan di Hospital Ranau ditukarkan susulan urusan pelantikan tetap baru-baru ini, namun hanya seorang daripada tujuh pegawai pengganti dari luar Sabah dilaporkan sudah melapor diri.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Hospital Ranau kini hanya mempunyai sembilan doktor, termasuk pengarah hospital berkenaan.

Beliau berkata, masalah kekurangan tenaga perubatan itu bukan sahaja berlaku di Hospital Ranau, malah melibatkan beberapa fasiliti kesihatan lain di Sabah.

Menurutnya, JKN Sabah menganggarkan negeri ini mengalami kekurangan 245 pegawai perubatan susulan urusan pelantikan berkenaan, manakala 67 peratus calon pengganti dari luar Sabah gagal melapor diri.

MMA Sabah turut menerima laporan mengenai waktu bekerja yang panjang serta peningkatan kekerapan tugas atas panggilan (on-call) di beberapa hospital lain di seluruh negeri.

Dr Brandon berkata, tekanan kerja dan keletihan yang semakin meningkat turut menyebabkan sesetengah doktor mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan.

Beliau menyambut baik usaha JKN Sabah menempatkan tiga pegawai perubatan tambahan ke Hospital Ranau secara berperingkat, namun berpandangan langkah itu masih belum mencukupi memandangkan kekurangan petugas turut dihadapi fasiliti kesihatan lain.

Sehubungan itu, beliau menggesa KKM melaksanakan program penempatan sementara secara terancang dan segera dengan membawa masuk pegawai perubatan dari Semenanjung, khususnya ke fasiliti kesihatan yang berdepan kekurangan petugas serta beban kerja paling kritikal.

Katanya, program berkenaan perlu disertakan tempoh penggiliran yang jelas, pembiayaan tambang perjalanan dan penginapan serta sokongan operasi mencukupi bagi memastikan penempatan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Dalam pada itu, Dr Brandon menyambut baik langkah KKM melaksanakan pengambilan khas bagi mengisi 750 kekosongan jawatan pegawai perubatan tetap di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berpandangan tarikh melapor diri yang dicadangkan pada 15 Februari 2027 terlalu lewat untuk menangani masalah kekurangan doktor yang sedang dihadapi ketika ini.

Bagi penyelesaian jangka panjang, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pengembalian semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan, selain memperkukuh insentif bagi penempatan di kawasan luar bandar dan Malaysia Timur.

Cadangan lain termasuk bantuan perpindahan, kemudahan penginapan yang selamat, penetapan tempoh penempatan yang jelas, urusan pertukaran secara telus serta peluang kemajuan kerjaya bagi meningkatkan daya tarikan penempatan doktor di Sabah.

Menurut Dr Brandon, penyelesaian menyeluruh memerlukan tindakan bersepadu KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sabah, khususnya dalam aspek peruntukan, insentif serta sokongan praktikal kepada petugas kesihatan.

Beliau menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kebajikan doktor terus terpelihara, selain menjamin pesakit di Sabah mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN