ADVERTISEMENTspot_img

UMS bangunkan model rumah hijau kos rendah, perkasa agenda kampus lestari

Pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan membina rumah hijau menggunakan buluh sebagai bahan utama binaan

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) memperkenalkan inisiatif inovasi kampus lestari melalui projek FSSK Living Lab Eco-edible Garden, yang menggabungkan pengeluaran makanan, pemeliharaan alam sekitar dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Penasihat Projek Living Lab UMS, Puan Ramlah Daud berkata, inisiatif itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada di kawasan kampus dengan mentransformasikan ruang yang kurang dimanfaatkan kepada kawasan kebun makanan produktif.

Beliau berkata, projek berkenaan bukan sahaja menyokong amalan kelestarian alam sekitar, malah menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan secara praktikal menerusi penglibatan langsung dalam aktiviti pertanian dan pembangunan kemudahan penanaman.

Menurutnya, antara keunikan utama projek itu ialah pembinaan rumah hijau berkos rendah menggunakan buluh yang diperoleh dari kawasan kampus tanpa memerlukan perbelanjaan untuk pembelian bahan utama berkenaan.

“Projek yang diterajui kumpulan pelajar ini menerima dana Eco-Campus sebanyak RM2,000 dan diselia oleh saya selaku pensyarah FSSK merangkap Penyelaras SULAM dan Keusahawanan FSSK.

Sesi Perasmian FSSK Living Lab Eco-edible Garden yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Dr. Asmady Idris

“Penglibatan pelajar dalam pembinaan rumah hijau ini memberi pengalaman secara langsung tentang bagaimana sumber tempatan boleh dimanfaatkan secara kreatif untuk menghasilkan kemudahan pertanian yang berfungsi dengan kos minimum,” katanya.

Rumah hijau berkenaan menempatkan tiga komponen utama iaitu penanaman kangkung menggunakan sistem hidroponik Deep Water Culture (DWC), penanaman secara konvensional menggunakan beg tanaman serta penghasilan anak pokok menerusi dulang semaian.

Pendekatan itu memperlihatkan potensi penggunaan bahan dan sumber sedia ada dalam membangunkan kemudahan pertanian yang praktikal, sekali gus menggalakkan penggunaan sumber secara cekap dan berhemah.

Lebih daripada sekadar kawasan pengeluaran makanan, FSSK Living Lab Eco-edible Garden berpotensi menjadi model inovasi kampus lestari yang mengintegrasikan pembinaan berkos rendah, kecekapan penggunaan sumber dan pembelajaran partisipatif menerusi konsep makmal hidup.

Inisiatif itu juga berpotensi diperluaskan ke fakulti lain dengan penyesuaian berdasarkan keluasan ruang serta sumber yang tersedia, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak warga universiti untuk terlibat dalam amalan kelestarian.

Melalui pendekatan berkenaan, FSSK berhasrat memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pendidikan berasaskan pengalaman, penyelidikan dan inovasi yang menyokong agenda kelestarian alam sekitar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN