Lokasi cadangan pemasangan jambatan bailey.
NABAWAN: Isu kerosakan dan penutupan penuh Jambatan Bailey Sungai Pancuran yang tular di aplikasi WhatsApp dan TikTok, termasuk dakwaan yang menyalahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Nabawan.
Jurutera Daerah JKR Nabawan, Ahmad Fairuz Yunus, tampil memberikan penjelasan berhubung perkembangan terkini usaha mengatasi masalah jambatan berkenaan yang menjadi laluan penting penduduk setempat.
Katanya, isu jambatan itu tiada kaitan dengan ADUN Nabawan kerana ia dibawah bidang kuasa JKR dan konsesi.
Menurut beliau, JKR Sabah telah mengenal pasti semua komponen jambatan Bailey yang diperlukan daripada stok JKR di seluruh Sabah untuk digunakan bagi pembinaan jambatan berkenaan.
Komponen tersebut akan segera diatur pengangkutannya ke Nabawan bagi membolehkan tindakan selanjutnya dilaksanakan.
Beliau berkata, Cawangan Jambatan JKR akan menentukan lokasi pemasangan jambatan Bailey baharu, sama ada di tapak sedia ada atau di lokasi yang dicadangkan untuk pembinaan jambatan sementara bagi projek menaik taraf Jambatan Sungai Pancuran.
Projek menaik taraf berkenaan dijangka dimulakan semula pada tahun sebaik sahaja permohonan tambahan siling peruntukan projek untuk kerja-kerja pengalihan utiliti diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ahmad Fairuz berkata, keputusan rasmi mengenai lokasi pemasangan itu akan dimaklumkan selepas ketetapan dibuat oleh JKR Sabah.
Sebelum ini, pihak JKR turut memaklumkan penutupan penuh Jambatan Bailey Sungai Pancuran susulan pemeriksaan rutin di tapak yang mendapati kerosakan pada komponen besi utama jambatan berkenaan.
Penutupan itu dilaksanakan atas faktor keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini melibatkan pengguna jambatan.
Menurut pemakluman tersebut, pihak kontraktor, Globinaco, akan menyediakan skop kerja pembaikan untuk dikemukakan kepada JKR bagi mendapatkan kelulusan sebelum kerja-kerja berkaitan dilaksanakan.
Tempoh pembaikan pula bergantung pada ketersediaan komponen jambatan Bailey di pasaran atau kemungkinan mendapatkan bekalan daripada stok daerah lain yang boleh digunakan.
Perkembangan terbaharu ini menunjukkan usaha sedang dilaksanakan oleh pihak JKR Sabah dan JKR Daerah Nabawan untuk mengenal pasti penyelesaian bagi membolehkan kemudahan lintasan Sungai Pancuran dipulihkan dengan mengambil kira aspek keselamatan penduduk.
Justeru itu katanya, orang ramai diharap mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan yang belum disahkan, sementara menunggu keputusan lanjut mengenai lokasi pemasangan serta pelaksanaan kerja-kerja pembaikan jambatan berkenaan.
Pada masa beliau mengingatkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab agar tidak membuat andaian dan menuding jari kepada sesiapa berkaitan isu jambatan tersebut tanpa merujuk kepada pihak berkuasa.



