ADVERTISEMENTspot_img

Jambatan Sungai Nabawan Lewat Siap, Penduduk Desak Penjelasan Status Projek

Beginilah keadaan pembinaan jambatan sungai Nabawan Jalan Kraftangan setakat ini.

NABAWAN: Kelewatan pembinaan Jambatan Sungai Nabawan di Kilometer 0.05, Jalan Kraftangan, Nabawan, terus menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk setempat yang mahu penjelasan daripada pihak berkenaan berhubung status dan perkembangan projek itu.

Penduduk mempersoalkan kelewatan pelaksanaan projek berkenaan, selain mendakwa pergerakan kerja di tapak pembinaan oleh pihak kontraktor dilihat agak perlahan.

Projek kerajaan Persekutuan itu bermula pada 14 Januari 2025 dan dijadualkan siap pada 13 Julai 2026.

Bagaimanapun, sehingga kini, pembinaan jambatan berkenaan masih belum selesai, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk mengenai status pelaksanaannya.

Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), Datuk Dr Joachim Gunsalam, ketika dihubungi mengenai isu itu meminta supaya Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Nabawan memberikan penjelasan berhubung kelewatan berkenaan.

Jurutera JKR Daerah Nabawan, Ahmad Fairuz Yunus, ketika dihubungi menjelaskan bahawa kelewatan pembinaan jambatan itu berpunca daripada pihak kontraktor.

Menurutnya, pihak JKR telah memberikan peluang kepada kontraktor untuk menyiapkan projek berkenaan, namun usaha yang dilakukan oleh pihak kontraktor masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Ahmad Fairuz berkata, pada peringkat ini, tindakan JKR lebih tertumpu kepada mengarahkan pihak kontraktor supaya meneruskan dan menyegerakan kerja-kerja pembinaan di tapak, memandangkan kemajuan fizikal projek berkenaan agak lewat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, baru-baru ini mengadakan tinjauan mengejut bagi melihat sendiri perkembangan semasa pembinaan jambatan berkenaan.

Turut menyertai tinjauan itu ialah Pegawai Daerah Nabawan, Ts Marshal Anthony, dan Jurutera JKR Daerah Nabawan.

Bagaimanapun, difahamkan pengurus syarikat kontraktor tidak hadir semasa tinjauan tersebut.

Sehingga kini, pihak kontraktor juga dilaporkan belum memberikan penjelasan berhubung kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.

Penduduk berharap pihak kontraktor dapat memberikan penjelasan sewajarnya mengenai punca kelewatan itu serta mengambil tindakan segera untuk mempercepatkan kerja pembinaan supaya jambatan berkenaan dapat disiapkan secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain Jurutera JKR Daerah Nabawan Ahmad Fairuz Yunus berkata, isu jambatan sungai Pancuran Nabawan yang belum bermula pembinaannya walaupun peruntukan telah diluluskan sebelum ini disebabkan permohonan tambahan siling peruntukan projek untuk kerja-kerja pengalihan Utiliti belum diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Katanya, belum ada kata putus daripada pihak KKDW berkaitan permohonan tambahan peruntukan yang dikemukakan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN