Rowindy
Oleh: Paul Ukau
MEMBAKUT: Hak rakyat luar bandar Sabah untuk sampai ke sekolah, mendapatkan rawatan dan mencari rezeki menuntut jawapan yang jelas apabila projek jalan yang mereka harapkan dibatalkan, kata Ketua Bahagian UPKO Kimanis, Rowindy Lawrence Odong.
Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan memperincikan sebab pembatalan projek Jalan Luar Bandar di negeri ini, pihak yang mengarahkan keputusan berkenaan serta langkah susulan bagi memastikan keperluan penduduk terus dipenuhi.
Menurutnya, penjelasan itu perlu merangkumi status sebenar projek terlibat kerana setiap keputusan pembangunan membawa kesan kepada masyarakat yang bergantung pada kemudahan berkenaan dalam kehidupan seharian.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Apakah sebab pembatalan projek berkenaan? Siapakah yang membuat keputusan tersebut?” katanya dalam satu kenyataan.
Rowindy menyatakan sokongan terhadap persoalan yang dibangkitkan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, termasuk permintaan supaya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan pihak yang bertanggungjawab mengarahkan pembatalan itu.
Katanya, isu berkenaan perlu ditangani dengan mengutamakan kepentingan penduduk luar bandar yang masih mengharapkan jalan raya lebih baik, selamat dan sempurna.
“Bagi penduduk luar bandar, jalan raya bukan sekadar kemudahan infrastruktur. Ia merupakan penghubung kepada peluang ekonomi, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan hidup,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penjelasan mengenai pembatalan perlu disertai langkah susulan yang nyata supaya keperluan rakyat tidak terus terabai.
Dalam kenyataan sama, Rowindy menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan secara serius cadangan Ewon ketika perbahasan Belanjawan di peringkat dasar supaya Ahli Parlimen yang bukan anggota pentadbiran diberikan ruang dalam sebuah Jawatankuasa Khas Pemantauan Pelaksanaan Belanjawan di negeri masing-masing.
Beliau berpandangan skop jawatankuasa itu wajar turut merangkumi pemantauan pelaksanaan projek pembangunan, selain peruntukan kewangan.
Katanya, pemantauan berkenaan penting bagi memastikan setiap peruntukan yang diluluskan diterjemahkan kepada projek yang dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.
Penglibatan Ahli Parlimen berkenaan juga, menurutnya, berpotensi memperkukuh prinsip semak dan imbang, meningkatkan akauntabiliti serta membantu mengenal pasti kelewatan, kekangan dan masalah pelaksanaan pada peringkat awal.
Bagi memastikan mekanisme itu berkesan, beliau mencadangkan supaya skop tugas, akses kepada maklumat berkaitan dan saluran pelaporan ditetapkan dengan jelas agar pemantauan dapat dilaksanakan secara profesional dan telus.
“Saya percaya bahawa pembangunan Sabah tidak seharusnya dijadikan isu kepartian. Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab bersama semua pihak yang diberikan amanah untuk mentadbir dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Rowindy menegaskan bahawa suara masyarakat luar bandar mesti didengar dan hak pembangunan mereka dipelihara melalui keputusan yang mengutamakan keperluan rakyat serta dapat dipertanggungjawabkan.
“Ketelusan bukan sekadar prinsip pentadbiran, tetapi satu keperluan bagi memastikan setiap peruntukan dan projek pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.



