ADVERTISEMENTspot_img

UPKO gabung pengalaman dan tenaga baharu, 15 daripada 47 AMT wajah baharu

UPKO!….Ewon(tengah) mengetuai laungan keramat Upko bersama kepimpinan tertinggi parti .

KOTA KINABALU: Gabungan pemimpin berpengalaman dan tenaga baharu mewarnai barisan kepimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi penggal 2026–2029, dengan 15 daripada 47 Ahli Majlis Tertinggi (AMT) merupakan muka baharu.

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, gabungan pemimpin terdahulu, penyandang jawatan dan muka baharu diyakini mampu membentuk kepimpinan yang berkesan serta membawa manfaat kepada rakyat.

“Selagi pimpinan tertinggi UPKO terus berkarya-pimpin berasaskan prinsip dan integriti, selagi meneruskan kepimpinan yang melayani dan berhasil, selagi kepimpinan yang bermula dari rumah, maka UPKO pasti akan terus relevan, disegani dan diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ikrar Pimpinan Tertinggi UPKO yang menghimpunkan barisan AMT serta Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda (GEM) bagi penggal 2026–2029, di sini, semalam.

Menurut Ewon, majlis ikrar itu bukan sekadar acara rasmi parti, sebaliknya menjadi peringatan kepada setiap pemimpin tentang tanggungjawab dan tujuan mereka menyertai perjuangan UPKO.

Beliau menyifatkan ikrar kepimpinan itu sebagai satu komitmen yang mempunyai makna mendalam, seumpama janji kepada ibu bapa untuk menjadi anak yang berguna, ikrar kepada pasangan ketika melangsungkan perkahwinan dan tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan masa depan yang terbaik buat anak-anak.

Barisan AMT Upko terdiri pemimpin lama dan muka baharu bersama sebahagian pemimpin parti di peringkat bahagian

“Majlis Ikrar ini umpama kita berikrar kepada ibu bapa semasa kita kecil untuk menamatkan pengajian, untuk menjadi anak yang berguna. Juga umpama kita berikrar kepada pasangan semasa perkahwinan.

“Juga umpama kita sebagai ibu bapa berikrar kepada anak-anak untuk menyediakan yang terbaik seadanya bagi membina masa depan mereka,” katanya.

Ewon yakin kebersamaan pemimpin daripada pelbagai generasi akan memperkukuh kesinambungan perjuangan parti, sekali gus membentuk kepimpinan yang berprinsip, berintegriti dan berorientasikan khidmat kepada rakyat.

Barisan kepimpinan UPKO bagi penggal kesembilan itu diterajui Ewon sebagai Presiden, manakala Datuk Donald P. Mojuntin menyandang jawatan Timbalan Presiden.

Jawatan Naib Presiden disandang Jairaiaz Joseph, Datuk Wong Thien Fook, Datuk Pangiran Lalung, Datuk Basari Sarkun, Datuk Laurentius Nayan Ambu, Junik Bajit, Dr Peter Jr Naintin, Carlyle Lajimin dan Mohina Sidom.

Sebahagian Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Eksekutif ketika lafaz ikrar

Senator Datuk Nelson W. Angang pula dilantik sebagai Setiausaha Agung, dibantu Junsin Rumunzing dan Georgina L. George sebagai Timbalan Setiausaha Agung.

Dennison R. Indang menyandang jawatan Bendahari Agung, manakala Kennedy J. Angian dan Dato’ Jasni Shirlin dilantik sebagai timbalannya.

Bagi portfolio penerangan, Felix J. Joseph dilantik sebagai Ketua Penerangan, dibantu Aduka Jasnin Suman dan Suzie Salapan sebagai Timbalan Ketua Penerangan.

Rowindy Lawrence Odong dilantik sebagai Setiausaha Penganjur, manakala Jackson Juin Tannyuh menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Penganjur.

Selain barisan kepimpinan utama, 25 individu turut disenaraikan sebagai AMT, termasuk Ketua GEM, Emmanuel Atin.

Enam individu turut dilantik sebagai ahli AMT, iaitu Datuk Sylvester Taing, Joisin Romut, Augustine Tuuga, Liau Kee Siong, Hanafi Haji Montoi dan Haji Ismail Yusuf.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN