Tahniah, Chase Mctrevor Mun (Meraih pingat emas dalam Sabah Muaythai Expo: The Rookie Challenge 2026 kategori 10–11 tahun (32kg).
Oleh: Paul Ukau
KOTA MARUDU: Empat murid Sekolah Rendah Advent Goshen (SRAG) mencatat pencapaian 100 peratus berpingat apabila masing-masing membawa pulang satu emas dan tiga perak pada kejohanan Sabah Muaythai Expo: The Rookie Challenge 2026 di Palm Square, Centre Point, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Mewakili Kelab Muaythai Revolution KM di bawah kendalian jurulatih Mexron James, keempat-empat atlet muda itu berjaya menaiki podium dalam kategori masing-masing pada kejohanan tersebut.
Chase Mctrevor Mun mengetuai pencapaian tersebut dengan meraih pingat emas bagi kategori umur 10 hingga 11 tahun, kelas 32 kilogram.
Favind Avanus Filter pula menyumbang perak dalam kategori umur 12 tahun, kelas 35 kilogram, diikuti Aditya Ayden Gayos Aliong bagi kategori umur 12 hingga 13 tahun, kelas 57 hingga 60 kilogram.
Hemm Hudson Hyeddie Danius melengkapkan kutipan pingat pasukan dengan meraih perak dalam kategori umur 10 hingga 11 tahun, kelas 25 hingga 30 kilogram.
Keputusan itu menyaksikan semua empat wakil SRAG menamatkan kejohanan dengan pingat, sekali gus mencatat pencapaian positif bagi sekolah dan kelab yang diwakili.
Selain keputusan pertandingan, penyertaan tersebut memberi peluang kepada atlet muda menguji kemahiran dan memperoleh pengalaman bersaing dalam kejohanan Muaythai.
Pencapaian berkenaan turut memperlihatkan potensi pembangunan atlet di peringkat sekolah rendah menerusi latihan berterusan, bimbingan kejurulatihan dan sokongan keluarga.



