Masidi diberi penerangan mengenai teknologi sukan yang digunakan dalam program itu.
KOTA KINABALU: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sains sukan mampu meningkatkan kualiti latihan serta pembangunan bakat muda bola sepak Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Beliau berkata penggunaan kamera AI dan peralatan pemantauan prestasi membolehkan jurulatih menilai keupayaan pemain dengan lebih tepat, mengenal pasti kelemahan serta merancang latihan yang lebih berkesan.
“Penerapan sains sukan bersama teknologi moden dapat membantu pemain memahami perkembangan prestasi masing-masing, sekali gus meningkatkan kualiti latihan dan keupayaan mereka untuk bersaing pada tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Coca-Cola: Bina Juara di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Masidi berkata akses kepada teknologi dan latihan berkualiti juga perlu diperluas kepada pemain di kawasan luar bandar, selain meningkatkan kemahiran jurulatih serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, persatuan sukan dan komuniti.
Beliau berharap pendekatan itu dapat membantu lebih ramai anak muda Sabah mengembangkan potensi dan menyumbang kepada kemajuan bola sepak negeri.



