ADVERTISEMENTspot_img

Jangan lengahkan lagi hak 40 peratus Sabah, kata Victor

Victor

TAMBUNAN: Kerajaan Persekutuan perlu segera menyelesaikan isu tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tanpa terus menangguhkan perkara itu, kata Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Tambunan, Datuk Victor Peter Paut.

Beliau berkata tuntutan tersebut kini menjadi antara perkara yang mendapat perhatian rakyat Sabah yang mahu hak negeri berkenaan dikembalikan dan dilaksanakan secara tuntas.

“Rakyat Sabah hari ini mahukan pembangunan dan kemajuan yang setara dengan negeri-negeri lain.

“Ramai pemimpin kita berpendapat perkara ini perlu diselesaikan dan Persekutuan seharusnya segera bertindak, bukan sekadar memberikan janji yang akhirnya dilihat sebagai alasan untuk melengah-lengahkan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor, yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, berkata Ahli Parlimen dari Sabah perlu terus membawa isu berkenaan dalam setiap persidangan Dewan Rakyat bagi memastikan tuntutan hak Sabah kekal menjadi agenda utama.

Beliau berkata kerajaan Sabah pada masa sama akan terus menggunakan pendekatan rundingan secara baik dan tegas dalam mempertahankan kepentingan serta hak negeri itu.

“Kerajaan Sabah mengamalkan toleransi dan terus menjaga hubungan baik antara kerajaan Sabah dan Persekutuan.

“Amalan berunding secara baik tetapi tegas dengan pendirian harus terus berjalan sehingga ada keputusan tuntas dalam suasana harmoni,” katanya.

Victor turut menolak dakwaan bahawa kerajaan Sabah yang diterajui GRS hanya mengikut arahan Persekutuan, sebaliknya berkata kerajaan negeri sentiasa mempunyai pendirian dalam memperjuangkan kepentingan Sabah.

Menurutnya, rakyat Sabah mahukan isu hak negeri termasuk tuntutan 40 peratus itu diselesaikan secara baik demi memastikan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negeri dapat dipertingkatkan.

“Semua anak Sabah sangat menginginkan hak-hak Sabah itu dituruti dan isu 40 peratus ini diselesaikan dengan baik.

“Kita anak Sabah dahagakan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran setanding Tanah Semenanjung dan Sarawak,” katanya.

Sebagai Penyelaras GRS DUN Tambunan, Victor berkata beliau akan terus menyokong usaha untuk memastikan isu berkenaan mendapat perhatian sewajarnya dan diselesaikan secara tuntas.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN