DITAHAN..Salah seorang suspek yang berjaya ditahan polis
PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki dan merampas 62.14 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM9,400 dalam dua operasi berasingan di daerah ini pada 18 dan 19 Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Penampang dalam kenyataan hari ini berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang.
Dalam operasi pertama kira-kira 2.50 petang pada 18 Sept, seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun ditahan di hadapan sebuah rumah.
“Hasil pemeriksaan menemukan 20 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 56.91 gram dengan anggaran nilai RM8,500.
“Saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine,” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi kedua kira-kira 12.10 tengah malam pada 19 Sept, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.
Pemeriksaan terhadap suspek menemukan empat paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 5.23 gram, dianggarkan bernilai RM900.
Keseluruhannya, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 62.14 gram dengan anggaran nilai RM9,400 menerusi kedua-dua operasi berkenaan.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dadah.



