Howard (duduk sebelah kanan) bersama petugas Labuanfm pada program Karnival Labuan Sihat.
LABUAN: Jabatan Penyiaran Wilayah Persekutuan Labuan berkongsi informasi menerusi Program Radio Di Lokasi @ Labuanfm sempena Program Karnival Labuan Sihat yang dianjurkan Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung di Ujana Kewangan Labuan pada Sabtu dan Ahad.
Menurut Timbalan Pengarah, Jabatan Penyiaran Negeri Labuan, Howard Martin Kim Sung alias Cornileus, ia mencerminkan komitmen bersama memeriahkan sambutan karnival dan membudayakan gaya hidup sihat bersama-sama komuniti.
Selain mendekati pengunjung dan pendengar setia stesen radio labuanfm, informasi juga dikongsi menerusi bual bicara Sembang Santai dari lokasi dan lapor terus yang disiarkan langsung di radio dan juga media sosial.
Antara perkongsian termasuk permainan interaktif, uji bakat suka-suka pembaca berita, penyampai radio dan sketsa.
Karnival Labuan Sihat 2026 menampilkan lebih 30 pempamer daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik.
Sementara itu Program Karnival Labuan Sihat dan Sejahtera diadakan sempena Bulan Malaysia Sihat (BMSS) dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Samsudin Sidek.



