Barisan Ahli Lembaga Pengarah KOSAN
KOTA KINABALU: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-42 Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) pada Khamis mengesahkan pelantikan dua Ahli Lembaga Koperasi (ALK) bagi mengisi kekosongan jawatan untuk penggal baharu.
Dua individu berkenaan ialah Petrus C. Mojuntin dan Lung Yun Chin @ Jennifer, yang dilantik tanpa pertandingan dalam sesi pemilihan yang berlangsung pada mesyuarat berkenaan.
Pelantikan itu sekali gus melengkapkan pengisian barisan ALK KOSAN bagi penggal baharu, selain mencerminkan persetujuan dan kepercayaan anggota perwakilan terhadap kepimpinan koperasi berkenaan.
Petrus turut menjadi antara muka baharu dalam barisan ALK KOSAN. Beliau merupakan anak lelaki sulung kepada mendiang Datuk Conrad Mojuntin, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah.
Sementara itu, majlis perasmian MAT Ke-42 KOSAN disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Mohamad Alamin.
Turut hadir Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Pengerusi KOSAN Datuk Haji Nizam bin DSP Haji Abu Bakar Titingan serta Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah Tuan Haji Awang Ruslli bin Haji Mohammad.
Mengulas pelantikannya, Petrus menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan anggota KOSAN dan menyifatkan tanggungjawab berkenaan sebagai satu amanah besar.
“Sebagai muka baharu yang dilantik ke barisan Ahli Lembaga Koperasi, ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar.
“Bersama-sama saf kepimpinan ALK yang lain, fokus saya adalah untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam memperkasakan perniagaan dan pelaburan KOSAN, menyokong dasar-dasar KUSKOP serta SKM, dan sentiasa memelihara kebajikan serta kepentingan seluruh anggota,” katanya.
Dengan pengisian dua kekosongan berkenaan, barisan ALK KOSAN kini lengkap bagi meneruskan perancangan dan usaha memperkukuh operasi, perniagaan serta daya saing koperasi pada penggal baharu.



