Abdul Ghani (tengah) bersama Marshal (ketiga dari kanan) mendahului perarakan pada sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Nabawan.
NABAWAN: Sambutan Maulidur Rasul dan Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Nabawan 1448H/2026M menjadi wadah untuk memperkukuh ukhuwah, meningkatkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW serta membentuk generasi muda yang berakhlak mulia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, berkata masyarakat Islam perlu mengamalkan sikap saling menghormati, membantu golongan yang memerlukan serta menjaga hubungan baik sesama jiran.
Menurut beliau, sambutan Maulidur Rasul perlu dijadikan titik tolak untuk setiap individu memperbaiki diri dan meningkatkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
“Saya berharap agar sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini menjadi titik tolak kepada kita semua untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan di Nabawan di Nabawan pada Jumaat.
Beliau turut mengalu-alukan penganjuran Mahrajan Kesenian Islam yang disifatkan sebagai medium berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah, mencungkil bakat serta membina keyakinan diri, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Katanya, aktiviti seperti bacaan Al-Quran, azan, nasyid, selawat dan persembahan berteraskan nilai Islam mampu mendidik anak-anak supaya mencintai agama serta membentuk sahsiah yang mulia.
“Dalam usaha membangunkan negeri Sabah dan daerah Nabawan, aspek pembangunan rohani, pendidikan agama dan pembentukan akhlak generasi muda tidak boleh kita abaikan.
“Kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi turut bergantung kepada kekuatan iman, nilai murni dan perpaduan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani menyeru ibu bapa dan guru supaya terus memberikan sokongan serta bimbingan kepada anak-anak kerana mereka merupakan pewaris masa depan agama, bangsa dan negeri Sabah.
Beliau berkata, kepelbagaian budaya, adat resam dan latar belakang masyarakat di daerah Nabawan perlu dijadikan kekuatan dalam membina sebuah masyarakat yang aman, harmoni dan saling menghargai.
“Marilah kita memperkukuhkan ukhuwah, saling membantu dan bersama-sama menjaga keharmonian daerah yang kita cintai ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat yang bersatu padu, berakhlak mulia dan mempunyai kekuatan rohani merupakan asas penting kepada pembangunan daerah Nabawan yang lebih maju, sejahtera dan diberkati Allah SWT.
Pada masa sama beliau mengajak masyarakat menghayati hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya.”
Beliau berharap sambutan Maulidur Rasul berkenaan dapat menyemarakkan lagi kecintaan masyarakat kepada Rasulullah SAW serta mendorong umat Islam mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Hadir sama Pegawai Daerah Nabawan Ts Marshal Anthony @ Idham dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.



