ADVERTISEMENTspot_img

Kembara Merdeka Membawa Semangat Patriotik, Sebar Mesej Cegah Jenayah

Sirajuddin (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan peralatan kepada Aslam (dua dari kiri)

NABAWAN: Konvoi Kembara Merdeka bawa semangat patriotik dan sebar mesej cegah jenayah kepada masyarakat luar bandar.

Pengarah Sekolah Henry Gurney Keningau (SHGK), Sirajuddin Abdul Majid, berkata program Kembara Merdeka menjadi wadah mendekati masyarakat, menyemai semangat patriotisme, memupuk disiplin dalam kalangan generasi muda.

“Program ini bukan sekadar meniupkan semangat patriotisme, malah menjadi platform menyampaikan mesej kesedaran mengenai pencegahan jenayah dan kepentingan pendidikan kepada golongan muda serta komuniti setempat.

“Dalam era digital hari ini pengaruh media sosial dan rakan sebaya semakin memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran serta tingkah laku golongan muda.

“Jika tidak dibimbing dengan baik pengaruh berkenaan boleh membawa kepada pelbagai gejala negatif termasuk jenayah seksual, buli dan gangsterisme,” katanya ketika menyampaikan ceramah dan ucapan pada program berkenaan di Dewan Terbuka Pagalungan, pada Isnin.

Beliau berkata, pendekatan pencegahan perlu dimulakan lebih awal dan tidak hanya diberikan selepas seseorang remaja melakukan kesalahan. 

“Justeru, kita tidak boleh hanya menegur apabila mereka melakukan kesilapan, sebaliknya perlu hadir lebih awal untuk membimbing, mendidik dan memberi mereka peluang kedua.

“Generasi muda adalah aset masa depan negara. Mereka perlu diberikan ruang, bimbingan dan pendidikan yang sewajarnya agar mampu bangkit daripada kesalahan, membina masa depan yang lebih baik serta menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Sirajuddin turut menegaskan pendekatan berterusan melalui pendidikan, advokasi dan penglibatan komuniti mampu membantu golongan muda membuat keputusan yang lebih positif serta menjauhkan diri daripada pengaruh yang boleh membawa kepada masalah sosial dan jenayah.

Menurutnya, penglibatan pelbagai agensi dan institusi dalam program itu memperlihatkan komitmen bersama membina masyarakat yang lebih prihatin terhadap isu pencegahan jenayah, selain memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat.

“Lebih 30 buah motosikal dan kenderaan menempuh perjalanan sejauh 138 kilometer selama kira-kira dua jam setengah dari SHGK ke Daerah Kecil Pagalungan sempena Program Konvoi Kembara Merdeka Hari Kebangsaan.

“Program seumpama ini diharap dapat memberi kesedaran bahawa usaha membendung jenayah dalam kalangan remaja bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama keluarga, institusi pendidikan, agensi penguatkuasaan dan seluruh masyarakat,” tambahnya.

Pelbagai aktiviti turut diatur sepanjang program termasuk ceramah laluan kerjaya perguruan daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau, ceramah keselamatan dan pencegahan jenayah, penyerahan sumbangan Kebajikan dan pakaian terpakai, kuiz kemerdekaan dan sesi ramah mesra anggota konvoi bersama penduduk setempat.

Program Konvoi Kembara Merdeka SHGK dengan kerjasama Persatuan Isteri, Anak-Anak dan Anggota Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) Cawangan Keningau dan IPG Kampus Keningau serta Jabatan-Jabatan / Agensi di Daerah Nabawan.

Turut hadir pada program itu Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan, Mohamed Aslam Haji Nawab Khan, Pengerusi PERSIAP Khairulnisah Razali, Guru Besar SK Logongon K9 Ahmad Yonolon, Ketua Daerah Kecil Pagalungan OKK, Philip Antugi./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN