ADVERTISEMENTspot_img

BATIK AIR BUKA DUA LALUAN BAHARU KE INDONESIA DARI SUBANG, PULAU PINANG

KUALA LUMPUR: Batik Air memperluas rangkaian penerbangan antarabangsanya dengan membuka dua laluan baharu ke Indonesia, masing-masing dari Subang ke Bali dan Pulau Pinang ke Batam, bermula Oktober ini.

Laluan Subang-Bali akan memulakan operasi pada 20 Okt dengan kekerapan empat kali seminggu, manakala laluan Pulau Pinang-Batam bermula 18 Okt dan akan beroperasi tiga kali seminggu.

Dalam kenyataan hari ini, Batik Air berkata pembukaan kedua-dua laluan itu bertujuan memenuhi permintaan perjalanan yang terus meningkat antara Malaysia dan Indonesia, selain memperkukuh kedudukannya di lapangan terbang utama negara.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menerima 4.3 juta pelawat dari Indonesia pada 2025, meningkat 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, menjadikan Indonesia antara pasaran pelawat antarabangsa utama Malaysia.

Hubungan udara yang lebih baik turut memberi manfaat kepada sektor pelancongan, perniagaan dan kesihatan, termasuk memudahkan rakyat Indonesia mendapatkan rawatan perubatan, pemeriksaan kesihatan serta perkhidmatan pakar di Malaysia.

Bagi laluan Subang-Bali, perkhidmatan terus itu menghubungkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dengan Bali, sekali gus memberi pilihan lebih mudah kepada penduduk Lembah Klang tanpa perlu ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bali merekodkan 6.95 juta ketibaan pelancong antarabangsa secara terus pada 2025, meningkat 9.72 peratus berbanding 2024.

Perkhidmatan baharu itu melengkapkan operasi sedia ada Batik Air antara KLIA dan Bali yang menawarkan 35 penerbangan seminggu.

Sementara itu, laluan Pulau Pinang-Batam dijangka memperkukuh hubungan udara antara Malaysia utara dan Kepulauan Riau, selain menyokong perjalanan bagi tujuan pelancongan dan perniagaan.

Batam merekodkan 738,186 ketibaan pelawat antarabangsa dalam tempoh enam bulan pertama 2025, dengan Malaysia menyumbang 188,713 ketibaan dan muncul sebagai pasaran sumber kedua terbesar dalam tempoh berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata pembukaan kedua-dua laluan berkenaan mencerminkan hubungan perjalanan yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia serta permintaan yang terus berkembang.

“Bali dan Batam merupakan destinasi penting bagi pelancong Malaysia, manakala Malaysia kekal sebagai pasaran penting bagi pelawat Indonesia.

“Laluan baharu ini membolehkan Batik Air memanfaatkan permintaan berkenaan serta memperkukuh rangkaian antarabangsanya dari Subang dan Pulau Pinang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengembangan rangkaian penerbangan tersebut turut menyokong matlamat kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) menerusi pengukuhan hubungan udara dengan salah satu pasaran serantau utama Malaysia.

Dengan VM2026 dilanjutkan hingga 2027, tambahan kapasiti dan laluan antarabangsa baharu itu dijangka menyokong pertumbuhan perjalanan antara Malaysia dan Indonesia, selain membuka akses lebih luas kepada sektor pelancongan, perniagaan, kesihatan dan rekreasi negara.

Batik Air kini mengendalikan kira-kira 1,400 penerbangan seminggu ke lebih 60 destinasi di 21 negara, dengan armada terdiri daripada tujuh pesawat Airbus A330-300 dan 47 pesawat Boeing 737-8/800.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN