PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal lelaki warga tempatan berusia 22 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 1.8, Bulatan 360, Jalan Bundusan, awal pagi Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata kejadian berlaku kira-kira 4.10 pagi ketika mangsa menunggang motosikal secara bersendirian dari arah Donggongon menuju ke Jalan Bundusan.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui bulatan sebelum terbabas.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) untuk bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



