ADVERTISEMENTspot_img

PEMUDA GAGASAN RAKYAT KENINGAU DESAK KETUA UMNO SEPANG MOHON MAAF

Daniel

Oleh Gerry Lewis

KENINGAU; Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian P.180 Keningau menggesa Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said, memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan yang didakwa mempersendakan paderi dan biarawati serta menggunakan petikan Kitab Mazmur 129 sebagai bahan jenaka berunsur lucah dalam satu pentas politik.

Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah P.180 Keningau, Daniel Dilliam, berkata tindakan sedemikian tidak wajar berlaku dalam politik negara yang berteraskan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Beliau berkata perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak mempermainkan agama atau kitab suci yang menjadi pegangan penganutnya.

“Ini bukan lagi soal retorik politik atau sekadar jenaka ringan, sebaliknya menyentuh sensitiviti dan kepercayaan penganut agama Kristian.

“Agama dan kitab suci adalah perkara yang wajib dihormati dan tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka, lebih-lebih lagi di pentas politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daniel berkata setiap pemimpin politik mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan kenyataan dan tindakan mereka tidak mencetuskan ketegangan agama atau menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan menyeluruh sekiranya terdapat unsur kesalahan di bawah undang-undang, tanpa mengambil kira kedudukan atau latar belakang politik mana-mana individu.

Beliau pada masa sama meminta Noorazli menarik balik kenyataan berkenaan dan menyampaikan permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Kristian serta mana-mana pihak yang terkesan atau tersinggung dengan kenyataan tersebut.

Menurutnya, tindakan yang bertanggungjawab dan berhemah amat penting bagi memastikan isu berkaitan sensitiviti agama tidak terus menjadi bahan polemik politik sehingga boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

“Politik sepatutnya menjadi wadah untuk membincangkan dasar, pembangunan dan kepentingan rakyat, bukannya memperlekeh atau mempermainkan kepercayaan agama mana-mana pihak.

“Kita mahu melihat budaya politik yang lebih matang, saling menghormati dan tidak mengorbankan keharmonian masyarakat demi kepentingan politik,” katanya.

Daniel Dilliam ialah Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat P.180 Keningau merangkap Penyelaras Pemuda DUN N.39 Tambunan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN