Azman (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama barisan kepimpinan Kelab 3HJ dan penduduk yang hadir.
KENINGAU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) P.180 Keningau Datuk Azman Hj Ruslan menyatakan sokongan terhadap usaha Kelab Hidup, Harapan dan Jariah (3HJ) Sabah yang terus memperkasa aktiviti kemasyarakatan demi membantu dan memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau menyatakan sokongan itu ketika merasmikan Majlis Kembara Merdeka anjuran Kelab 3HJ, di sini.
Dalam ucapannya, Azman berkata kepimpinan Gagasan Rakyat dan kerajaan ketika ini terus memberi tumpuan terhadap hala tuju pembangunan masyarakat, khususnya di kawasan Parlimen Keningau.
Menurutnya, konsep Hidup, Harapan dan Jariah membawa nilai yang besar dalam usaha membina komuniti yang prihatin, saling membantu serta mengambil berat antara satu sama lain.
“Konsep ini mengingatkan kita bahawa kehidupan bukan hanya mengenai diri sendiri, tetapi bagaimana kita dapat memberi harapan dan meninggalkan manfaat kepada orang lain,” katanya.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada Kelab 3HJ kerana konsisten menghidupkan semangat kepedulian terhadap masyarakat menerusi pelbagai usaha dan aktiviti kemasyarakatan.
Azman berkata beliau memberikan sokongan penuh terhadap usaha kelab berkenaan dan berharap gerakan seperti itu dapat terus diperkasakan bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat.
Katanya, semangat kemasyarakatan perlu terus dipupuk kerana ia mampu mengukuhkan hubungan antara masyarakat serta mewujudkan komuniti yang lebih prihatin dan bersatu.
“Hidup dengan kepedulian, memberi harapan dan meninggalkan jariah,” katanya.



