ADVERTISEMENTspot_img

Tamu Besar Kota Belud 2026 sasar 50,000 pengunjung

KENANGAN: Ewon Benedick bergambar bersama Tun Musa Aman dan rombongan selepas mengadakan kunjungan hormat di Istana Seri Kinabalu.

KOTA KINABALU: Tamu Besar Kota Belud 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 18 Oktober depan menyasarkan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung dari seluruh Sabah dan luar negeri.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, berkata sambutan berkenaan bukan sahaja menjadi platform keusahawanan dan jual beli, malah mengetengahkan kepelbagaian budaya serta identiti masyarakat di daerah berkenaan.

Katanya, majlis perasmian Tamu Besar Kota Belud akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada 17 Oktober ini dan turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah.

“Beberapa acara utama akan diadakan di tapak tamu, manakala pertandingan seperti lumba kerbau dan lembu berlangsung di padang atau dataran Kota Belud.

“Tamu Besar ini bukan sahaja menjadi platform keusahawanan untuk aktiviti jual beli, malah diserikan dengan pelbagai pengisian kebudayaan daripada pelbagai etnik seperti Bajau, Iranun, Dusun dan lain-lain.

“Ia juga sinonim dengan nilai perpaduan serta kebersamaan rakyat Sabah yang ingin kita serlahkan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, antara kelainan penganjuran tahun ini ialah pelaksanaan Tamu Geopark Kinabalu dengan kerjasama Taman-Taman Sabah.

Katanya, program berkenaan diadakan seminggu lebih awal bagi menonjolkan keistimewaan Gunung Kinabalu yang sebahagiannya terletak di daerah Kota Belud.

“Kita bekerjasama dengan Taman-Taman Sabah menganjurkan tamu ini supaya dapat menonjolkan Gunung Kinabalu itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Tamu Besar Kota Belud turut memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan ruang kepada usahawan dan peniaga memasarkan produk masing-masing.

Katanya, kementeriannya turut menyalurkan peruntukan bagi menyokong penganjuran sambutan berkenaan sekali gus memberi peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan.

“Saya amat yakin seperti tahun-tahun sebelum ini, peniaga kecil dan usahawan tamu akan mendapat rezeki serta pendapatan lebih baik, terutama apabila lebih ramai pengunjung datang.

“Antara produk tempatan yang sinonim dengan Kota Belud termasuk parang, sayur-sayuran dan ikan liking yang dijangka turut menjadi tarikan sepanjang sambutan berkenaan.

“Siapa lagi yang boleh membantu dan menyokong usahawan tempatan kalau bukan kita,” katanya.

Sehubungan itu, Ewon mengajak rakyat Sabah serta pelancong dari luar negeri untuk hadir memeriahkan Tamu Besar Kota Belud dan menyaksikan keunikan budaya serta identiti masyarakat di daerah berkenaan.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN