ADVERTISEMENTspot_img

Lawatan Ke Kilang Kerepek Buka Ruang Ibu-Ibu Kampung Silou Ceburi Keusahawanan

DUDUK DARI KANAN: Ruhaidah, Rogers, Rosmawati@Rozie dan Monica (dua kiri) merakam gambar bersama para ahli persatuan selepas melawat Kilang tersebut.

Oleh: Salwah Aramat

KOTA KINABALU: Seramai 36 ahli Persatuan Ibu-Ibu Kampung Silou Ranau menyertai Program Lawatan ke Kilang Kerepek Mina dan Kilang Paw Mama Best Food yang terletak di Bandar Sierra, di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Persatuan Ibu-Ibu Kampung Silou Ranau itu diketuai Pengerusi persatuan, Ruhaidah Sairin bersama Timbalannya, Monica Angkoi yang turut disertai Ketua Bahagian UPKO Ranau, Rogers Tiam sebagai platform pendedahan kepada ahli mengenai pengurusan serta perjalanan perusahaan makanan.

Ruhaidah berkata, lawatan julung kali itu memberi peluang kepada ahli melihat sendiri operasi perusahaan, di samping menimba pengetahuan berkaitan proses penghasilan produk dan pengalaman mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, pendedahan sedemikian penting bagi membuka minda ahli terhadap peluang ekonomi yang boleh diterokai, khususnya dalam bidang perusahaan makanan yang mempunyai potensi untuk dikembangkan secara lebih tersusun.

Rombongan terlebih dahulu mengunjungi Kilang Kerepek Mina dan disambut Pengasasnya, Rosmawati @ Rozie Sanda yang berkongsi pengalaman memulakan perusahaan menggunakan bahan mentah seperti pisang dan ubi kayu.

PENGHARGAAN……..Ruhaidah (tiga kanan) menyampaikan Cenderakenangan kepada Datin Hajah Rozilah bersama empat ahli yang lain.

Perkongsian tersebut turut menyentuh aspek pengeluaran dalam kuantiti besar, pengurusan bahan mentah serta cabaran memastikan produk yang dihasilkan mampu memenuhi permintaan pasaran.

Lawatan kemudian diteruskan ke Kilang Paw Mama Best Food yang disambut Pengarah Pengurusannya, Datin Hajah Rozilah Abdullah yang berkongsi pengalaman membangunkan perusahaan berkenaan sehingga mampu bertahan dalam pelbagai keadaan.

Menurutnya, pandemik COVID-19 pada 2021 menjadi antara cabaran yang mendorong pihaknya mempelbagaikan produk sebagai langkah memastikan kelangsungan perniagaan.

Selain menghasilkan paw dalam pelbagai perisa, kilang berkenaan turut mengeluarkan produk lain seperti karipap, kek batik dan kelupis yang terus diusahakan sehingga kini.

Ruhaidah berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang lawatan itu dapat diterjemahkan kepada tindakan, sekali gus menggalakkan ahli lebih berani meneroka peluang keusahawanan, memperkukuh kerjasama dan menjadikan persatuan sebagai wadah memperkasa ekonomi wanita.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN