ADVERTISEMENTspot_img

42 Pelajar Nabawan Terima Bantuan Pendidikan

Deckson mewakili Abdul Ghani menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar.

NABAWAN: Seramai 42 pelajar dari daerah Nabawan yang berjaya melanjutkan pengajian ke pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menerima suntikan semangat dalam bentuk kewangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.

Program yang diadakan setiap tahun itu merupakan antara usaha untuk meraikan kejayaan anak-anak Nabawan yang berjaya melangkah ke alam pengajian tinggi, selain memberikan dorongan kepada mereka untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Ucapan syabas dan tahniah daripada Datuk Abdul Ghani disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Tuan Deckson Andipai yang turut mengingatkan para pelajar supaya menjadikan peluang melanjutkan pengajian sebagai langkah penting dalam membina masa depan yang lebih baik.

Beliau berkata, kejayaan 42 pelajar berkenaan bukan sahaja membanggakan ibu bapa dan keluarga, malah menjadi kebanggaan seluruh masyarakat Nabawan.

“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan diharapkan dapat menjadi suntikan semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, pendidikan merupakan antara aspek penting dalam usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan daerah serta negeri Sabah pada masa akan datang.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan bagi membantu pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Kemudahan dan bantuan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pelajar bagi membantu mereka meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

Para pelajar turut diingatkan supaya sentiasa berusaha, menjaga disiplin dan nama baik keluarga serta menggunakan peluang yang diberikan untuk mencapai cita-cita masing-masing.

Abdul Ghani berharap semua pelajar terbabit terus mencipta kejayaan dalam bidang yang diceburi dan suatu hari nanti kembali menyumbang kepakaran serta tenaga kepada pembangunan Nabawan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN