Keadaan rumah separa kekal yang terbakar.
LABUAN: Tiga buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Lorong Orkid, Simpang 7, Kg. Sungai Bangat, pada malam Jumaat lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.51 malam sebelum tiga buah jentera bersama 20 anggota masing masing daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral dan Balai Bomba Penyelamat Layangan tiba di tempat kejadian.
Menurut kenyataan itu, kesemua rumah masing-masing berkeluasan 20×20 kaki, 20×30 kaki dan 20×20 kaki, dengan keseluruhan struktur terbakar 100 peratus.
Api berjaya dikawal pada jam 10.18 malam dan usaha pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 11.57 malam.
Manakala tujuh penghuni yang melibatkan tiga lelaki dan empat wanita yang mendiami rumah berkenaan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederan.



