ADVERTISEMENTspot_img

DUA LELAKI DITAHAN DISYAKI MENYAMAR PEGAWAI PENGUAT KUASA, PERAS WARGA ASING RM1,500

DITAHAN..Suspek yang disyaki menyamar sebagai pegawai penguat kuasa ditahan polis.

PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 28 tahun yang disyaki menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa sebelum cuba memeras wang RM1,500 daripada seorang lelaki warga asing di Kampung Koidupan Sugud, di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Sprentinden Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas penduduk kampung berjaya menghalang mereka daripada melarikan diri sebelum menyerahkannya kepada polis.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.10 tengah malam apabila kedua-dua suspek yang memakai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa menghampiri mangsa dan meminta supaya dokumen pengenalan diri dikemukakan.

“Suspek kemudian mendakwa mangsa melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport dan dipercayai meminta bayaran RM1,500 bagi menyelesaikan kesalahan tersebut.

“Bagaimanapun, apabila mangsa meminta kedua-dua suspek menunjukkan kad kuasa, mereka cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan oleh penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa helai pakaian yang menyerupai seragam agensi penguat kuasa yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan perbuatan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Seksyen 384 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sprentinden menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.

Beliau turut meminta orang ramai supaya segera menghubungi polis sekiranya berdepan sebarang kejadian atau perlakuan yang mencurigakan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN