KENINGAU: Polis menahan dua individu dan merampas sebuah kenderaan Perodua Aruz serta kunci kenderaan dalam siasatan kes kecurian kabel milik Sabah Electricity yang dipercayai menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, kejadian dilaporkan pada 30 Julai lalu selepas seorang kakitangan Sabah Electricity menerima maklumat daripada penduduk mengenai dua kenderaan mencurigakan memasuki kawasan Kampung Maliloa, Jalan Sook.
“Pengadu bersama rakan sekerja kemudian pergi ke lokasi dan menghubungi pihak polis sebelum mengejar sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo yang disyaki terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil tindakan susulan berdasarkan maklumat yang diperoleh, sepasukan anggota Balai Polis Tambunan menahan dua suspek di sebuah penginapan di Tambunan pada kira-kira jam 10.30 pagi, 11 Ogos 2026.
Kedua-dua suspek terdiri daripada seorang lelaki warga Filipina berusia 25 tahun dan seorang remaja perempuan tempatan berusia 16 tahun.
Polis turut memeriksa sebuah Perodua Aruz berwarna hitam yang digunakan suspek dan mendapati kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kenderaan bersama kunci turut dirampas dan semua suspek serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Yampil berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mengaku terlibat dalam kes yang sedang disiasat.
Katanya, polis akan memohon perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah pada 12 Ogos bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan mencuri. -MA



