Carlye…..Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UPKO yang baharu, Carlye Lajimin bertekad memperkukuh kesatuan dalam pergerakan itu dengan memastikan kepimpinan baharu bergerak secara bersama serta memberi ruang kepada semua anggota untuk menyumbang kepada perjuangan parti.
Beliau berkata mandat yang diterima bagi menerajui Pergerakan Pemuda UPKO bagi sesi 2026-2029 bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul bersama seluruh barisan kepimpinan serta anggota pergerakan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Exco Pemuda UPKO atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memimpin Pergerakan Pemuda UPKO bagi sesi 2026-2029.
“Amanah ini bukan saya anggap sebagai keistimewaan, tetapi satu tanggungjawab yang akan saya pikul bersama-sama dengan semua sahabat dalam perjuangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu ciapan menerusi laman Facebook miliknya pada Selasa.
Carlye turut merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang atas segala jasa, kerjasama dan sumbangan beliau sepanjang menerajui pergerakan itu.
Beliau berkata segala usaha dan pencapaian kepimpinan terdahulu akan dihargai serta diteruskan, manakala agenda baharu perlu dirancang dan dilaksanakan secara bersama.
“Dalam sebuah keluarga, mungkin kita berbeza pandangan dan cara, tetapi kita tetap satu keluarga. Apa yang telah dilakukan sebelum ini kita hargai dan teruskan, manakala apa yang akan datang pula kita rancang, bina dan jayakan bersama,” katanya.
Menurut Carlye, beliau tidak mahu kepimpinan Pemuda UPKO bergerak secara bersendirian, sebaliknya mahu semua pihak berjalan seiring, saling membantu dan memperkukuh antara satu sama lain.
Beliau juga memberi penghargaan kepada pemimpin Pemuda UPKO yang beralih ke peringkat lebih tinggi dalam parti, sambil menegaskan kesediaannya menerima pandangan serta teguran daripada semua pihak demi memperkukuh pergerakan berkenaan.
“Kita mungkin berbeza latar belakang dan azam, tetapi kita berkongsi satu keluarga dan satu perjuangan,” katanya.
Dalam pada itu, Carlye turut mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya dipilih menganggotai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UPKO pada pemilihan parti, selain menyeru mereka yang belum berjaya supaya tidak berputus asa dan terus menabur bakti kepada parti.
Beliau berkata lembaran baharu kepimpinan Pemuda UPKO perlu dimulakan dengan hati terbuka, semangat baharu dan hubungan persahabatan yang lebih erat.
“Mari kita terus berjalan bersama,” katanya.



