ADVERTISEMENTspot_img

RELA perlu kekal berintegriti, profesional sebagai pasukan akar umbi: Jonathan

Jonathan (tengah) bergambar bersama anggota RELA dan pihak penganjur selepas program di Dewan Komuniti Kampung Langsat, Ranau, baru-baru ini.

RANAU: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diingatkan supaya terus menjunjung disiplin, integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pasukan sukarelawan akar umbi yang menjadi penghubung penting antara masyarakat dan pihak berkuasa.

Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin berkata peranan RELA bukan sekadar membantu menjaga ketenteraman awam, malah turut merangkumi bantuan ketika kecemasan serta sokongan terhadap pelbagai program kemasyarakatan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Anggota RELA adalah mata dan telinga pihak berkuasa di peringkat akar umbi kerana mereka sentiasa dekat dengan masyarakat.

“Maklumat yang diterima daripada orang ramai mesti disalurkan melalui pihak berkuasa yang sewajarnya, manakala setiap tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan jujur, berdisiplin dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pengurusan Platun RELA Daerah Ranau bagi Mukim Langsat dan Nalumad di Dewan Komuniti Kampung Langsat, di sini, Sabtu lepas.

Jonathan berkata keberkesanan RELA bukan hanya bergantung kepada struktur organisasinya, tetapi turut dipengaruhi komitmen dan kesediaan setiap anggota melaksanakan amanah secara bertanggungjawab demi mengekalkan kepercayaan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerjasama antara RELA dengan ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (KPKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi kerajaan lain terus diperkukuh.

Menurutnya, jaringan kerjasama berkenaan penting bagi memastikan isu keselamatan dan permasalahan yang menjejaskan kesejahteraan komuniti dapat dikenal pasti serta ditangani dengan segera dan berkesan.

Beliau turut mengingatkan anggota RELA supaya sentiasa berwaspada ketika menerima atau menyampaikan maklumat, khususnya melalui media sosial, serta tidak menyebarkan perkara yang belum disahkan.

“Sebarang maklumat yang meragukan hendaklah dilaporkan melalui saluran yang betul dan tidak disebarkan sehingga menimbulkan kekeliruan atau keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Program berkenaan turut menyaksikan penyusunan semula platun RELA bagi Mukim Langsat dan Nalumad, yang bertujuan memperkemas pentadbiran, meningkatkan penyelarasan serta memperkukuh kesiapsiagaan operasi di peringkat akar umbi.

Hadir sama Pegawai RELA Daerah Ranau PgR Mohd Ramdan Raidin, Penolong Pegawai RELA Daerah (Unit Latihan) PPgKR Nazrul Piritus serta anggota RELA dari seluruh daerah dan wakil Pusat Khidmat Parlimen Ranau.

Terdahulu, peserta menerima taklimat pengenalan mengenai RELA yang disampaikan PgR Mohd Ramdan, meliputi fungsi, tanggungjawab dan peranan organisasi dalam menyokong keselamatan serta pembangunan komuniti.

Program sehari itu turut diserikan dengan kuiz RELA, pertandingan kawad dan cabutan bertuah bagi memupuk semangat berpasukan serta setiakawan dalam kalangan anggota.

Sijil dan LLP turut disampaikan kepada anggota RELA sebagai penghargaan terhadap penyertaan serta komitmen mereka, manakala Jonathan menerima cenderahati daripada pihak penganjur sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan terhadap program RELA di daerah berkenaan.

Penganjur berharap inisiatif itu dapat terus memperkukuh kerjasama dalam kalangan anggota RELA, di samping meningkatkan tahap disiplin, kesiapsiagaan operasi dan semangat kesukarelawanan demi mewujudkan komuniti Ranau yang lebih selamat dan harmoni.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN