PENGHARGAAN……..Datuk Bolhasan Di, menyampaikan Cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Dr. Dayang Nurfizawati sempena majlis itu.
Oleh: Salwah Aramat & Editor
KUCHING: Komunikasi terbuka dan berkesan antara ibu bapa dengan anak remaja perlu diperkasakan bagi membantu golongan itu berdepan cabaran emosi, pengaruh media sosial, penyalahgunaan dadah, gejala sosial serta krisis identiti.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim berkata pendekatan membimbing remaja tidak seharusnya tertumpu kepada aspek disiplin semata-mata, sebaliknya perlu berasaskan kefahaman terhadap hati, emosi dan jiwa mereka.
“Apabila komunikasi antara remaja dengan ibu bapa, pendidik dan masyarakat dibuka dengan lebih luas, setiap permasalahan dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
“Pada masa sama, pendekatan ini dapat membantu remaja mengenali potensi diri serta membina keyakinan untuk menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bengkel Memancing Hati Anak Remaja dan Teknik Komunikasi Berkesan Antara Ibu Bapa dan Remaja anjuran Persatuan Melayu Sarawak (PMS) di Hawa Catering & Banquet Hall, Jalan Astana, Petra Jaya, di sini semalam.
Program berkenaan turut diadakan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan PMS bagi sesi 2025 yang dipimpin Presidennya Datuk Bolhassan Di.
Dayang Nurfizawati berkata inisiatif PMS itu bertepatan dengan keperluan semasa dalam usaha membentuk generasi muda yang berakhlak mulia, berdaya tahan dan mempunyai jati diri kukuh.
Beliau turut menekankan keperluan melahirkan barisan pemimpin muda yang berilmu, bertanggungjawab dan berintegriti, selain memperkukuh kerjasama antara pertubuhan masyarakat, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta sektor swasta dalam pembangunan modal insan.
Menurutnya, kemajuan sesebuah negeri tidak hanya diukur berdasarkan pembangunan fizikal dan ekonomi, sebaliknya turut bergantung kepada kualiti modal insan yang dibentuk sejak usia muda.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan Sarawak turut menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak yang layak di empat universiti milik negeri itu, selain menyediakan bantuan RM1,000 bagi setiap anak yang dilahirkan untuk disimpan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
Sementara itu, bengkel yang dikendalikan Hajah Norlela Iznih memberi tumpuan kepada pendekatan mendekati jiwa remaja serta teknik komunikasi yang lebih terbuka, berkesan dan berhemah antara ibu bapa dengan anak.
Program turut merangkumi sesi pengenalan, bacaan doa, amanat Presiden PMS dan interaksi bersama peserta, selain penyampaian anugerah khas kepada pelajar serta penerima Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah yang cemerlang.
Pada sebelah tengah hari, program diteruskan dengan jamuan makan tengah hari dan Mesyuarat Agung Tahunan PMS bagi sesi 2025 sebelum diakhiri dengan ucapan penutup oleh Presiden PMS.
PMS berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai platform memperkukuh institusi keluarga, memperbaiki komunikasi antara ibu bapa dan anak serta membentuk generasi muda Sarawak yang cemerlang, berakhlak, berdaya saing dan berwawasan.



