Dr.Suhaili memerhatikan batik linut yang dihasilkan oleh peserta bengkel sambil disaksikan Azize dan Sharon (tiga dari kanan).
LABUAN: Seramai 55 peserta dari Brunei, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berjaya mengikuti Bengkel Warisan Batik Linut anjuran bersama Persatuan Seni Visual Labuan ( LAVISTA) dan Tourism Malaysia Sabah/Labuan.
Bengkel yang diadakan di Palm Beach Resort and Spa itu telah disempurnakan majlis penutupannya oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman, pada Sabtu.
Menurut Pengerusi LAVISTA, Azize Mohd Yusoph, penganjuran bengkel yang julung kalinya diadakan bertujuan untuk memelihara serta mempromosikan seni warisan Batik Linut, iaitu inovasi kraf berasaskan tepung sagu sebagai identiti seni visual Borneo yang unik.
Selain itu ia juga dapat meningkatkan kemahiran teknikal para penggiat seni tempatan, disamping berfungsi sebagai
platform pertukaran ilmu dan pendedahan budaya kepada masyarakat umum.
Azize berkata kehadiran peserta rentas sempadan ini membuktikan bahawa Batik Linut berupaya menjadi simbol jalinan silang budaya yang menyatukan komuniti seni di seluruh kepulauan Borneo serta menjadi titik permulaan kepada usaha yang lebih besar sekaligus
memartabatkan seni visual tempatan.
” Antara perancangan masa depan LAVISTA termasuklah
merealisasikan penganjuran Acara Seni Batik Linut Borneo sebagai salah satu acara tahunan rasmi
dalam Kalendar Pelancongan Labuan, sekali gus memperkasakan jaringan kerjasama sosiobudaya dan
ekonomi di peringkat Wilayah Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina BIMP-EAGA)”, katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Azize berkata, Seni Batik Linut bukan sahaja lambang warisan, malah berpotensi tinggi sebagai pemangkin industri kreatif dan pelancongan budaya di rantau ini.
Hadir sama Pegawai Pelancongan Kanan, Tourism Malaysia Labuan, Sharon Kenny.



