PENSIANGAN………. Ketua rombongan Keningau Bikers Club (KBC), Sifu Joseph Ho Kung Sang (tengah), bersama Amrah Hassanuddin (dua kiri) dan ahli rombongan di Mahkamah Anak Negeri (MAN) Mukim Pensiangan sempena program joy ride baru-baru ini.
PENSIANGAN, 5 Ogos (Bernama) — Program joy ride anjuran Keningau Bikers Club (KBC) bukan sekadar menghimpunkan komuniti peminat motosikal berkuasa tinggi, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim sambil mengimbau sejarah serta menyaksikan sendiri transformasi pembangunan di daerah pedalaman Pensiangan.
Konvoi yang diketuai Sifu Joseph Ho Kung Sang itu disertai penunggang dari Keningau, Nabawan, Sepulut dan Pensiangan yang menempuh perjalanan kira-kira 180 kilometer menuju pekan sempadan berkenaan baru-baru ini.
Selain menggalakkan aktiviti rekreasi bermotosikal secara berkumpulan, program itu turut memberi peluang kepada peserta menelusuri lokasi bersejarah yang menjadi sebahagian daripada perkembangan awal Pensiangan sebagai pusat penempatan dan perdagangan di kawasan pedalaman Sabah.
Antara lokasi yang diziarahi ialah bangunan lama Kedai Goh Chung Fatt yang dibina sekitar penghujung 1960-an oleh keluarga Goh sebelum mengembangkan perniagaan ke Keningau. Walaupun tidak lagi beroperasi, bangunan kayu berkenaan masih kekal sebagai antara mercu tanda yang mencerminkan sejarah perkembangan ekonomi di Pensiangan.
Konvoi turut singgah di bekas Kedai Runcit Tai Tong Hing milik mendiang Dai Chong yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan penduduk setempat sebelum keluarga berkenaan berpindah ke Keningau.
Peserta juga melawat Mahkamah Anak Negeri Mukim Pensiangan sebelum meneruskan perjalanan ke Jambatan Gantung Pensiangan berhampiran sempadan Sabah-Indonesia yang terkenal dengan keindahan landskap semula jadi dan menjadi antara tarikan utama daerah itu.
Sepanjang perjalanan, peserta berkongsi pelbagai kenangan mengenai keadaan laluan ke Pensiangan pada masa lalu yang kebanyakannya terdiri daripada jalan balak, berdebu ketika musim kemarau serta berlumpur dan sukar dilalui pada musim hujan.
Kini, laluan berkenaan telah dinaik taraf kepada jalan berturap yang lebih selesa dan selamat, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta meningkatkan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perdagangan, pelancongan dan peluang ekonomi di kawasan pedalaman.
Dalam kalangan peserta, suasana mesra jelas terpancar apabila mereka memanfaatkan setiap persinggahan untuk mengeratkan persahabatan, bertukar cerita dan mengimbau pengalaman lama yang pernah dilalui bersama.
Antara peserta yang mencuri perhatian ialah usahawan MASZ Aluminium Keningau, Amrah Hassanuddin @ Ambang, yang dikenali dengan penampilan berjanggut lebat, selain usahawan Peter Chee yang sentiasa menceriakan suasana sepanjang konvoi berlangsung.
Peserta turut merakamkan penghargaan terhadap usaha pemimpin yang memperjuangkan pembangunan rangkaian jalan raya di kawasan Pensiangan sejak beberapa dekad lalu, termasuk mendiang Tan Sri Joseph Kurup, mendiang Datuk Dr Bernard Stephen Manfaat serta Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang meneruskan agenda pembangunan kawasan pedalaman.
Program itu membuktikan bahawa aktiviti bermotosikal bukan sekadar menguji ketahanan fizikal dan menikmati perjalanan, sebaliknya menjadi medium memperkukuh perpaduan, menghargai sejarah serta menyemai rasa syukur terhadap pembangunan yang membawa perubahan positif kepada masyarakat pedalaman.



