Tiong (empat dari kiri) bersama tetamu jemputan majlis Peluncuran Kapal Tunda milik MPM.
LABUAN: Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) meningkatkan serta memperluaskan perkhidmatan marin di Pelabuhan Labuan selepas memperolehi empat buah kapal tunda bernilai RM23 juta.
Pengarah Urusannya Datuk Seri Patrick Tiong berkata perolehan itu mencerminkan komitmen tinggi syarikat dalam memenuhi tanggungjawabnya sebagai operator Pelabuhan Labuan, selain meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan pergerakan kapal dalam had pelabuhan.
“Perolehan empat buah kapal tunda ini merupakan pelaburan strategik bagi menyokong pelaksanaan perkhidmatan marin di Pelabuhan Labuan.
“Ia membuktikan komitmen kami untuk menyediakan aset, tenaga kerja dan keupayaan operasi yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kami,” katanya pada Majlis Peluncuran Kapal Tunda dan Pelancaran Perkhidmatan Marin di Jeti Dermaga Merdeka di sini baru baru ino.
Tiong berkata perkhidmatan marin itu dilaksanakan selaras dengan peruntukan berkaitan perkhidmatan marin di bawah Perjanjian Operation, Facility and Management Continuation yang dimeterai baru-baru ini antara MPM dengan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL).
Beliau berkata penyediaan perkhidmatan marin merupakan tanggungjawab mandatori yang perlu dilaksanakan oleh MPM di bawah perjanjian berkenaan.
“Kami berbesar hati menerima dan melaksanakan amanah ini. Pelaburan ini mencerminkan kesungguhan kami untuk memastikan operasi pelabuhan dilaksanakan secara lebih selamat, cekap, teratur dan berkesinambungan,” katanya.
Tiong berkata kapal-kapal tunda itu akan membantu pergerakan kapal yang memasuki dan keluar dari pelabuhan, termasuk semasa operasi merapat dan meninggalkan dermaga serta ketika kapal bergerak dalam ruang perairan yang terhad.
Kapal berkenaan juga akan digunakan untuk menunda, menarik atau menolak kapal, mengawal pergerakan kapal ketika keadaan cuaca atau arus kurang mengizinkan, mengiringi kapal dalam had pelabuhan serta membantu kapal yang mengalami kerosakan mekanikal, kehilangan kuasa atau kesukaran untuk bergerak.
Beliau berkata kapal-kapal tunda itu turut memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan MPM melalui sokongan kepada operasi menyelamat dan pemindahan serta tindak balas awal terhadap insiden maritim.



