Flag Off…Chan (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Flag off Konvoi KMJG 2026.
KOTA KINABALU : Penggunaan Kad Pengenalan Malaysia (MyKad) dalam pembelian bahan api bersubsidi dapat mengelakkan lebih ketirisan berlaku.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Chan Foong Hin berkata, penggunaan MyKad sebagai pendekatan paling saksama berbanding pengkelasan mengikut kategori pendapatan.
“Penggunaan MyKad memastikan kesamarataan hak antara warganegara Malaysia, selain terbukti berkesan dalam membendung isu ketirisan bahan api bersubsidi.
“Namun begitu, bagi saya kelonggaran terhadap pelaksanaan BUDIDiesel di Sabah memandangkan jumlah penggunaan yang tidak setara jika dibandingkan dengan di semenanjung,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Sabah bagi Daerah Kota Kinabalu di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut berkenaan program, beliau berkata norma baru dalam penganjuran konvoi sebegini amat bersesuaian dalam mengoptimumkan pergerakan serta dapat melakukan penjimatan kos.
“Pemilihan lokasi yang agak berbeza seperti pasar awam begini dapat menyampaikan mesej terus kepada komuniti setempat untuk memperkukuhkan lagi perpaduan di sebalik kepelbagaian suku kaum dan agama.
“Selepas melalui pelbagai senario politik, adalah sangat penting untuk kita kembali merapatkan barisan dan menyemarakkan semangat perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang akan di sambut pada 31 Ogos depan,” jelasnya.
Beliau menyeru agar masyarakat terus mengibarkan bendera di kediaman serta premis perniagaan masing-masing.
Dalam majlis berkenaan, Chan juga mengedarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada beberapa premis kedai berhampiran serta turut menyerahkan kepada wakil komuniti MADANI.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya sedang menjalankan proses saringan data bagi memastikan keperluan para petani tidak tercicir daripada menerima bantuan subsidi susulan beberapa maklumat berkaitan keperluan golongan itu yang diterima daripada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI)./Penerangan-



