Sebahagian peserta yang menyertai Libat Urus tersebut.
LABUAN:Seramai 85 pemain industri pelancongan tempatan menyertai sesi Libat Urus Muslim-Friendly Tourism and Hospitality (MFTH) anjuran Islamic Tourism Centre (ITC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang diadakan di Hotel Dorsett Grand Labuan, di sini pada Rabu lalu.
Libat Urus yang berlangsung satu hari itu bertujuan bagi meningkatkan kefahaman mengenai pensijilan dan standard pelancongan mesra-Muslim dengan memperkenalkan modul pengiktirafan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) serta Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG).
Menurut Pengarah ITC, Mohd Faisal Abu Suaib Khan, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi menyokong pertumbuhan pelancongan mesra-Muslim global yang dianggarkan mencecah 424 bilion dolar Amerika menjelang 2029, selain membantu meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan pelancongan tempatan.
Beliau turut menyifatkan Labuan mempunyai potensi sebagai destinasi pelancongan keluarga mesra-Muslim bagi menarik lebih ramai pelancong serantau, khususnya dari Sabah, Sarawak, Brunei dan negara jiran di Asia Tenggara yang mempunyai lebih 240 juta penduduk Islam.
Pada masa yang sama, libat urus tersebut dapat memperkasa dan memperkukuh daya tarikan industri pelancongan muslim tempatan.



