Dari kiri : Alfian, Aliudin, Prisca, Jeffson, Kennedy, Tuan Norsih, Wilson, Abraham dan Rajinah.
KENINGAU: UPKO Bahagian Keningau yang diketuai oleh Ketua Bahagiannya, Kennedy Datuk John Angian, mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai Daerah Keningau yang baharu, Tuan Norsih Nusuri, sempena beliau memulakan tugas sebagai Ketua Pentadbir Daerah Keningau.
Turut menyertai delegasi tersebut ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) UPKO Bahagian Keningau, Timbalan Ketua Bahagian Wilson Gan, Ketua Pemuda Jeffson Japrin, Ketua Wanita Prisca P, Bendahari Rajinah Anahong, Pegawai Penerangan Aliudin Majid, Penolong Setiausaha Bahagian Alfian Mahyin.
Delegasi UPKO Bahagian Keningau mengambil kesempatan menzahirkan ucapan selamat datang serta menyampaikan sokongan kepada Tuan Norsih dalam menggalas amanah menerajui pentadbiran daerah.
Dalam pertemuan itu, Kennedy berkata pihaknya berharap pengalaman, komitmen dan kepimpinan Tuan Norsih mampu membawa aspirasi baharu ke arah memperkukuh pentadbiran daerah, sekali gus mempercepat agenda pembangunan yang mampan, inklusif dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.
Kunjungan tersebut turut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan awam, termasuk pembangunan daerah, kesejahteraan masyarakat, pembangunan luar bandar, pemerkasaan belia, keusahawanan serta usaha mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
UPKO Bahagian Keningau turut menyatakan komitmen untuk terus menjalinkan kerjasama erat dengan Pejabat Daerah Keningau dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan dan inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
Kennedy berkata hubungan yang erat antara kepimpinan masyarakat, organisasi politik dan agensi kerajaan merupakan asas penting dalam memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Beliau berharap jalinan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuh bagi memacu kemajuan daerah Keningau, memperkasakan perpaduan masyarakat serta mewujudkan pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan sejahtera.



