ADVERTISEMENTspot_img

Madius Cadang Reformasi Menyeluruh Institusi Anak Negeri, Perkasa Kepimpinan Adat dan Wujudkan Dana Amanah

Madius

KOTA KINABALU, 23 Julai (Bernama) — Kerajaan Sabah disaran melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap institusi Anak Negeri menerusi pelaksanaan program pensijilan kompetensi bagi pemimpin adat, memperkasa Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah sebagai pusat kecemerlangan serantau serta menubuhkan Dana Amanah Pembangunan Anak Negeri Sabah bagi menjamin pembangunan masyarakat Orang Asal secara mampan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata langkah itu penting bagi memastikan institusi kepimpinan adat Sabah terus relevan, profesional dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa.

Beliau mengemukakan cadangan itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 serta Rang Undang-Undang Enakmen Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, Khamis.

Madius mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Pensijilan Kompetensi bagi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung berasaskan standard antarabangsa ISO/IEC 17024 bagi meningkatkan tahap profesionalisme pemegang jawatan berkenaan.

Katanya, pensijilan itu boleh meliputi bidang kepimpinan, tadbir urus, undang-undang, adat anak negeri, integriti, penyelesaian konflik, pengurusan komuniti dan penyampaian perkhidmatan awam.

“Hari ini tanggungjawab Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung jauh lebih besar berbanding dahulu kerana mereka menjadi individu pertama dihubungi ketika berlaku kematian, kebakaran, banjir, bencana alam serta pelbagai urusan pentadbiran lain.

“Tujuan pensijilan ini bukan untuk menyusahkan mereka, tetapi mengangkat martabat institusi kepimpinan adat Sabah supaya lebih profesional, diyakini masyarakat dan menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Fasal 4 dan Fasal 5 rang undang-undang berkenaan yang menyentuh fungsi, tanggungjawab serta elaun dan faedah pemimpin adat perlu terus diperkasakan agar institusi itu mampu menjadi rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan dasar serta menyelesaikan isu rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, Madius turut mencadangkan supaya Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah diperkasakan sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) dalam pembangunan institusi masyarakat Orang Asal di rantau Asia Pasifik.

Menurut beliau, Sabah mempunyai lebih 70 kumpulan etnik, sistem Mahkamah Anak Negeri yang unik serta institusi kepimpinan adat yang masih berfungsi, sekali gus meletakkan negeri itu pada kedudukan terbaik untuk menjadi pusat rujukan dalam tadbir urus masyarakat Orang Asal.

Beliau berkata Majlis itu tidak seharusnya hanya berfungsi menggubal dasar, malah perlu menjadi pusat penyelidikan, dokumentasi, latihan kepimpinan adat, pembangunan modal insan, penerbitan ilmiah, inovasi dasar serta kerjasama antarabangsa.

Madius turut mencadangkan penyediaan Pelan Induk Pemerkasaan Anak Negeri Sabah 2027-2040 yang disokong Pelan Strategik Lima Tahun dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas, selain menjalinkan kerjasama strategik dengan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta institusi masyarakat Orang Asal di New Zealand dan Kanada.

Selain itu, beliau mengesyorkan penubuhan Dana Amanah Pembangunan Anak Negeri Sabah sebagai instrumen kewangan jangka panjang bagi membiayai pembangunan masyarakat Anak Negeri.

Katanya, institusi yang dipertanggungjawabkan membangunkan masyarakat tidak boleh terus bergantung kepada peruntukan tahunan semata-mata, sebaliknya memerlukan sumber kewangan yang kukuh dan mampan.

Beliau mencadangkan pindaan undang-undang pada masa hadapan bagi membolehkan Majlis menerima pemberian tanah, bangunan, aset, endowmen, geran penyelidikan, sumbangan korporat serta lain-lain sumbangan yang sah.

Menurutnya, hasil dana itu boleh dimanfaatkan untuk membiayai biasiswa kepada pelajar cemerlang, penyelidikan adat dan budaya, pendokumentasian bahasa etnik serta latihan kepimpinan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung.

Madius turut mencadangkan penubuhan Perbadanan Pembangunan Anak Negeri Sabah sebagai cabang korporat Majlis bagi mengurus aset dan pelaburan secara profesional, telus serta berteraskan tadbir urus yang baik.

“Institusi yang memiliki aset belum tentu dihormati, tetapi institusi yang mengurus aset dengan penuh integriti akan sentiasa mendapat kepercayaan rakyat. Inilah pelaburan sebenar untuk masa depan masyarakat Anak Negeri,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN