Nizam
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KOTA KINABALU: Pembinaan Kompleks Sukan Tongod yang terbengkalai sebelum ini dijangka akan dilaksanakan semula pada September 2026.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tempoh pelaksanaan kompleks itu akan mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.
Menjawab soalan lisan Datuk Masiung Banah (Kuamut) pada Persidangan Dewan Undangan Sabah hari ini, Nizam berkata, Kementerian Kewangan sudah meluluskan nama syarikat yang akan melaksanakan projek sambungan Kompleks Sukan Tongod itu.
Masiung bertanya apakah status terkini pembinaan Kompleks Sukan Tongod.
“Pihak Kementerian saya dalam proses untuk mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat yang telah diluluskan.
“Kerja-kerja di tapak binaan projek akan dimulakan sebaik sahaja syarikat menerima tawaran ini dengan memenuhi syarat-syarat yang terkandung dalam surat tawaran tersebut,” kata Nizam.
Nizam berkata, kementeriannya berharap syarikat yang telah dilantik tersebut dapat menyiapkan kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan Tongod itu mengikut jadual kontrak yang ditetapkan.
Menjawab soalan tambahan Masiung, Nizam berkata, kelulusan yg diberikan kepada syarikat yang baru ini hanya untuk melengkapkan atau menyiapkan projek yang terbengkalai.
Nizam berkata, jika ada cadangan dari Masiung yang tidak termasuk dalam kontrak kali ini, ia akan diberi perhatian dan dipanjangkan atau dicadangkan untuk dimasukkan pada fasa seterusnya.



