ADVERTISEMENTspot_img

PRESIDEN NGO DITAHAN SPRM BERHUBUNG DAKWAAN SALAH GUNA KUASA PROJEK DEWAN RM2 JUTA

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan peruntukan pembinaan sebuah dewan bernilai kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi selepas hadir ke pejabat SPRM Sabah untuk memberikan keterangan.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam penyelewengan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kewangan pada 2022 bagi pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di negeri ini.

Difahamkan, suspek turut didakwa mengemukakan permohonan peruntukan serta mengurus pelaksanaan projek berkenaan tanpa memperoleh persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan tersebut.

Ketika dihubungi, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan atau faedah.

Menurut beliau, suspek dijangka dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN